Daftar blogger elak sebar fitnah, kata Pakar

Daftar blogger elak sebar fitnah, kata Pakar

Profesor Datuk Dr Ramlah AdamCadangan mewajibkan penulis blog dan penulis dalam talian untuk berdaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dilihat mampu mengurangkan penyebaran maklumat tidak sahih dan palsu yang semakin berleluasa ketika ini.

Pakar akademik dan blogger berpendapat sekiranya cadangan itu diguna pakai kelak, akan dapat membantu membentuk masyarakat penulis yang lebih beretika, peka dan bertanggungjawab terhadap fakta yang ditulis dan disebarkan.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata syor itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan penulis terbabit berpegang kepada etika dan rasa tanggungjawab baik kepada diri sendiri mahupun kepada masyarakat dan negara.

“Bila ada rasa tersebut, kita dapat elak fitnah yang akan menimbulkan perpecahan. Semua agama tegah perpecahan,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya diwujudkan undang-undang supaya penulis blog wajib berdaftar dengan KKMM sebagai usaha mengekang bahan penulisan berunsur fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed dilapor berkata cadangan bertujuan memastikan mutu bahan penulisan dalam laman blog atau pengguna laman sosial dibuat secara betul, sah, beretika serta tidak menyalahgunakan internet.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata cadangan itu juga boleh menjadi panduan kepada mana-mana penulis media dalam talian dan penulis blog agar tidak menghasilkan atau menyebarkan maklumat berunsur provokasi dan kebencian.

Katanya setiap maklumat perlu dihasilkan berdasarkan kajian atau sumber sahih yang berpengalaman dalam sesuatu bidang berkaitan bagi mengelak kekeliruan pembaca serta implikasi negatif kepada masyarakat.

“Setiap penulisan perlu ada sumber sahih dan huraian yang jelas berdasarkan fakta. Bukan menulis berdasarkan emosi semata-mata bagi mencapai matlamat sendiri untuk menjatuhkan mana-mana pihak dengan menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang blogger daripada laman militaryofmalaysia.net, yang dikenali sebagai Shahpaskal berpendapat sudah sampai masanya undang-undang seumpamanya dikuatkuasakan memandangkan media sosial telah kerap disalah guna dan dijadikan platform untuk menyebar pelbagai bahan tidak sihat serta fitnah.

“Ada yang memalukan individu lain, penyebaran fitnah, berita palsu, bahan berbaur lucah, perdagangan haram seperti iklan berbaur pelacuran, seks bebas serta penyebaran bahan-bahan agama yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia,” katanya.

Beliau mengakui pernah disiasat pihak berkuasa atas artikel yang dimuat naik dalam laman tersebut namun mengakui ia bukan masalah kerana yakin apa yang ditulis adalah berasaskan maklumat serta fakta dan bukannya fitnah.

“Saya tidak menyalahkan pihak berkuasa kerana dengan insiden ini membuktikan bahawa pihak berkuasa terutama polis atau tentera mengambil berat hal-hal sensitif berhubung dengan keselamatan Malaysia.

“Bagaimanapun saya akui masih ramai blogger yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengetahui asas undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Mereka ini kebanyakan adalah penulis amatur yang tidak ada asas atau latar belakang dalam bidang penulisan,” katanya.

Shahpaskal berpandangan akta itu akan membawa kesan positif terhadap dunia penulisan alam maya dan sedikit sebanyak dapat menghalang elemen-elemen subversif yang banyak meliar dalam media sosial hari ini

Menurutnya, media sosial sepatutnya dijadikan wadah pengembangan ilmu dan maklumat yang mampu membina jati diri dan negara bangsa dan penyalahgunaan media sosial terutama oleh penulis blog yang tidak bertanggungjawab dan menulis atas sebab diupah, mencari hits dan nama hanya akan menyulitkan tugas pihak berkuasa.

Blogger daripada hazrey.com, Zulhazri Abu Bakar turut mengalu-alukan saranan itu kerana sudah sampai masanya kebebasan bersuara tidak disalahgunakan untuk memfitnah dan merosakkan sesuatu fakta termasuk isu politik.

“Pada ketika Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang untuk bersuara, ia juga memperuntukkan ketetapan bagi melindungi keselamatan negara, masyarakat, bangsa dan agama.

“Jika media seperti propembangkang menitikberatkan etika dan integriti kesahihan, tidak akan timbul saranan seperti ini, maka eloklah ia diwujudkan kerana hari ini, sesiapa sahaja boleh mendakwa diri mereka wartawan dan editor.

“Contohnya pada hari ini, portal berhaluan kiri menggunakan taktik tajuk mengelirukan dan menyimpang fakta secara tidak bertanggungjawab, ia disebarkan netizen sebelum dipadamkan, lantas dengan mudah memberikan persepsi buruk terhadap seseorang individu atau pemimpin,” katanya.

Beliau berkata polemik tersebut sudah terlalu kerap berlaku dan akhirnya, kebebasan media terus disalahgunakan.

TAGS