Daftar  semula pekerja asing, ‘G to G Plus’ punca levi dibayar tinggi – MEF

Daftar semula pekerja asing, ‘G to G Plus’ punca levi dibayar tinggi – MEF

Kerajaan disaran membenarkan semua pekerja asing yang tiada  dokumen atau tinggal lebih masa untuk didaftarkan semula oleh  majikan bagi menampung keperluan dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Shamsuddin BardanKerajaan disaran membenarkan semua pekerja asing yang tiada  dokumen atau tinggal lebih masa untuk didaftarkan semula oleh  majikan bagi menampung keperluan dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berpandangan  keputusan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing membabitkan tujuh negara sumber akan menjejaskan dan menyukarkan majikan dalam sektor berkenaan.

“Keputusan Timbalan Perdana Menteri untuk menangguhkan pengambilan pekerja asing mengejutkan pemain industri terutama membabitkan tiga sektor utama seperti perladangan, pembinaan  dan perkhidmatan yang begitu mendesak untuk mendapatkan pekerja asing.

“Saya bersetuju langkah kerajaan menangguhkan  pengambilan pekerja asing baharu cuma jangan melibatkan  pekerja asing yang sudah bekerja di negara ini.

“Keperluan industri terhadap pekerja asing sedia ada separa mahir begitu tinggi dan pekerja asing yang masih tinggal di negara ini  boleh didaftarkan semula untuk digajikan oleh majikan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline untuk mengulas  keputusan kerajaan itu semalam.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.

Beliau berkata penangguhan itu juga bagi membolehkan kerajaan meneliti semula keputusan berkaitan pembayaran levi dua kategori.

Kata Shamsuddin, berharap proses menggajikan semula pekerja asing berjalan lancar sekaligus dapat mengurangkan  kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Selain katanya dapat mengurangkan peranan ‘orang tengah’ yang turut terbabit membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Beliau tidak menafikan berlaku perjanjian ‘G to G Plus’  bukannya ‘G to G’ sahaja dengan  tujuh lagi negara sumber  dalam MoU yang ditandatangani  kerajaan dan negara sumber baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan  berlaku  MoU membabitkan  kaedah  ‘Government to Government Plus’ yang menawarkan pekerja asing dari negara sumber melalui agensi tempatan menyebabkan  kos membawa seorang pekerja asing yang terpaksa dibayar bakal majikan meningkat antara RM8,000-RM10,000.

“Kalau babitkan ‘G to G’ sahaja majikan hanya perlu bayar antara RM3,000-RM4,000 seorang.

“Saya fikir kerajaan perlu meneliti kaedah levi yang dikenakan  terhadap agensi pekerja asing dari negara sumber melalui agensi tempatan ini agar ia tidak membebankan majikan,” ujarnya.

Sekiranya  kerajaan mahu meneliti semula keputusan berkaitan pembayaran levi ujarnya, ia adalah keputusan yang tepat, walaupun imej kerajaan sedikit tercalar dengan MoU yang telahpun ditandatangani dan dipersetujui  antara negara sumber sebaliknya dalam waktu yang singkat kerajaan mengumumkan pula penangguhan pengambilan pekerja asing.

“Kita memberikan imej kepada para pelabur  dan dunia bahawa polisi itu tidak begitu jelas. Ini tidak begitu baik untuk perniagaan. Apa  yang kita harapkan sesuatu polisi kerajaan itu harus kekal lama dan tidak berubah-ubah,” ujarnya.

Mengulas lanjut Shamsuddin berkata,  senario ekonomi  semasa yang berlaku, Malaysia tidak perlu membawa masuk  ramai pekerja asing sebagaimana cadangan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat.

“Di Sabah  dan Sarawak  majikan  menetapkan pendirian tidak mahu terlibat dengan pengambilan  pekerja asing dari Bangladesh oleh kerajaan pusat.

“MEF mendapati sehingga September 2015 lalu seramai 1,200 pekerja asing ditamatkan perkhidmat mereka oleh majikan dan dihantar pulang, begitu juga  pembuangan pekerja tempatan sejumlah 26,000 orang dalam pelbagai sektor.

“Ini menunjukkan walaupun keperluan mendesak di sektor perladangan dan pembinaan, ia boleh diisi oleh pekerja tempatan yang kehilangan pekerjaan atau menggajikan semula pekerja asing yang tamat perkhidmatan.

“Kalau kerajaan berasakan ada keperluan untuk membawa pekerja asing tetapi ia tidaklah sehingga cecah anggaran 1.5 juta orang diperlukan untuk menampung tiga sektor itu,” terangnya.

MEF  mempunyai  5,000 ahli individu berdaftar dan  ahli bersekutu  di kalangan 22 persatuan majikan pelbagai sektor.

TAGS