Dagang Net lancar e-khidmat pelepasan kargo udara

Dagang Net lancar e-khidmat pelepasan kargo udara

Dagang Net Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX), kini melancarkan e-khidmat terbaharu bagi urusan pelepasan kargo udara dikenali ‘Pre-Alert Manifest.’

E-khidmat tersebut memberi kemudahan pemprosesan dokumen dan pergerakan kargo secara cekap ke dalam negara ini dan membabitkan kargo import kecil merangkumi bungkusan, dokumen dan surat dengan nilai jumlah kos, insurans dan tambang (CIF) tidak melebihi RM500 bagi setiap penghantaran, kata DNeX.

“Kami akan terus mempertingkat tawaran penyelesaian dalam ekosistem Fasilitasi Perdagangan di bawah inisiatif Platform Digital Dagang Net Digital kami bagi menawarkan perkhidmatan menyeluruh serta membantu pelanggan menjadi lebih cekap. Malah (perkhidmatan) ‘Pre-Alert Manifest’ turut menjadi antara bukti komitmen ini,” kata Timbalan Pengerusi DNeX, Datuk Samsul Husin yang juga Pengerusi Eksekutif Dagang Net dalam satu kenyataan hari ini.

‘Pre-Alert Manifest’ merupakan penyelesaian bersepadu sepenuhnya dengan platform automasi bagi pemprosesan penilaian dan kriteria pengesahan untuk mempercepat urusan pelepasan kargo.

Komponen e-khidmat itu juga melengkapi serta boleh dioperasi seiring dengan proses dan sistem dokumentasi berkaitan kastam pada masa ini.

Ia merupakan sistem berteraskan pelanggan yang mengetengahkan ciri penggunaan semula bagi melancarkan serta memudahkan proses penyerahan dan pengesahan dengan tidak mengulangi keperluan memasukkan data.

Ciri lain termasuk pelaporan papan pemuka; mekanisme pelarasan dan amaran automatik; menjejaki serta pemantauan barangan, pengesanan penipuan dan pengurusan risiko.

Selain itu, Samsul berkata e-khidmat itu juga membolehkan syarikat berkenaan menembusi pasaran baharu seperti barangan import kecil menerusi penghantaran udara.

‘Pre-Alert Manifest’ itu dijangka mencatat kira-kira 250,000 sehingga 350,000 transaksi sebulan dengan fi sebanyak 80 sen bagi setiap kilobait data yang dihantar.

Sistem berkenaan dibangunkan serta diurus sepenuhnya oleh bakat-bakat tempatan.

Dagang Net juga mempunyai kira-kira 300 pekerja yang mengurus dan mengendalikan ekosistem Tetingkap Tunggal Kebangsaan (NSW) termasuk pusat komunikasi yang beroperasi sepanjang masa.

Malah, Dagang Net merupakan pengendali NSW bagi Fasilitasi Perdagangan sejak pelancarannya pada 2009 dan termasuk enam teras e-khidmat iaitu eDeclare (eIsytihar), ePCO, ePermit, ePermitSTA, eManifest dan ePayment (pembayaran) yang memberi masyarakat dagangan dengan kemudahan kesalinghubungan bagi pemprosesan dokumen import eksport ke 167 pintu masuk dan keluar serta lebih 30 agensi pengeluaran permit di Malaysia selain hubungan kepada lebih 10 institusi perbankan.

Syarikat itu turut melakukan sehingga 100 transaksi proses infrastruktur yang selamat setiap tahun serta menyediakan perkhidmatan kepada lebih 35,000 pengguna Fasilitasi Perdagangan dan logistik.

— BERNAMA