Malaysia Dateline

Dah 3 bulan berlalu, apa halangan PN isytihar harta

Sehingga hari ini anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN) belum mengisytiharkan harta masing-masing biarpun telah diberikan tempoh untuk mereka berbuat demikian.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lalu mengingatkan semua jemaah menterinya mengisytiharkan harta mereka dalam tempoh sebulan.

Muhyiddin yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat sulung Kabinetnya berkata, Jemaah Menteri perlu memberi komitmen untuk menentang dan membanteras rasuah.

“Saya beritahu semua Jemaah Menteri supaya isytihar harta dan kita minta dalam tempoh sebulan (isytihar) kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) seperti dibuat hari ini,” kata Muhyiddin.

Untuk rekod, reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejurus membentuk kerajaan menyaksikan semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen termasuk isteri dan anak mereka diwajibkan untuk mengisytiharkan harta.

PH mencipta sejarah apabila membenarkan masyarakat umum mengakses dokumen perisytiharan harta itu yang perlu diserahkan kepada SPRM dan dipaparkan dalam sebuah portal khas, MyDeclaration.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan asetnya ketika itu berjumlah RM32.3 juta manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac tahun lalu mengisytiharkan nilai keseluruhan aset miliknya adalah sebanyak RM10.74 juta.

Berbeza dengan amalan kerajaan BN sebelum itu, menteri membuat pengisytiharan aset kepada badan pencegah rasuah dan berkongsi maklumat tersebut dengan Perdana Menteri.