Malaysia Dateline

‘Dah 4 kali jumpa AM sejak PRU15 tapi PM masih belum ada’

Rakyat Malaysia terus ternanti-nanti mengenai siapa Perdana Menteri (PM) ke-10 meskipun sudah empat hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

Rata-rata pengundi turut berkongsikan foto menunjukkan celupan dakwat di jari masing-masing yang semakin luntur.

Bahkan, ada yang berseloroh sudah empat kali bertemu AM tetapi masih belum ‘jumpa’ PM menggambarkan hari bersilih ganti dengan teki-teki.

“Dah 4 kali jumpa AM sejak PRU15 tapi PM masih belum sampai-sampai. Harap PM akan muncul sebelum dakwat di jari hilang,” usik Zulfikri Suboh.

Tidak kurang juga yang meluahkan rasa menyesal keluar mengundi malah beratur untuk membuang undi pada 19 November lalu.

Penantian blok mana yang bakal membentuk Kerajaan Persekutuan juga mengundang rasa kecewa rakyat yang ramai terkesan dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

Ramai berpendapat ahli politik di negara ini lebih mengutamakan kepentingan individu dan parti semata-mata bukannya segera membuat keputusan atas kesedaran negara.

“Dah nak hilang dah dakwat di jari. Kerajaan masih tiada lagi. Rasa menyesal pula pergi mengundi PRU15 tahun ni.

“Oh, politik negaraku Malaysia. Negara lain ada yang dah bertukar-tukar PM sebab pentingkan ekonomi dan negara.

“Tapi politik negara ini sibuk kepentingan parti dan diri sendiri,” luah Tuah Zainal pula.

Zulfikri dan Tuah antara lebih 70 peratus pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat.

Namun, keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendapat 112 kerusi Parlimen sekaligus gagal membentuk kerajaan.

Terbaharu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Baca juga Pejuang terima pilihan rakyat doa Malaysia pulih dengan kerajaan baru

Baca juga Salahkan isteri tak pandai jaga suami, influencer media sosial pernah hamil anak luar nikah