Seorang wanita tidak dapat menahan rasa bersalah terhadap suami kerana belum disahkah hamil walaupun sudah hampir tujuh bulan berumah tangga.
Lebih memburukkan keadaan, wanita bernama Julia itu sudah lama tidak datang bulan bahkan dari hari pertama menikah kerana memiliki haid yang tidak teratur.
Namun, keadaan mula berubah setelah suami Julia membawanya berkunjung ke rumah rakan dan bertemu dengan wanita lain yang dikenali sebagai Maya.
Berikut kami kongsikan pengalaman Julia yang disahkan hamil setelah sekian lama berusaha untuk menghadiahkan zuriat kepada suami kesayangannya.
“Saya sebenarnya seorang wanita yang overthinker. Kerisauan saya mula terkawal sejak berkahwin dengan suami. Bulan pertama perkahwinan, saya sudah tertanya-tanya, mengandung ke? Hal ini kerana haid memang tak pernah datang. Saya beli kit ujian kehamilan senyap-senyap. Bila negatif, terasa kecewa. Tetapi cepat-cepat saya ingatkan diri, ‘Allah kan ada’.
“Bulan kedua, ketiga, keempat, kelima, juga sama. Saya tidak mengandung. Tetapi haid saya tidak juga kunjung tiba. Bulan keenam, saya dibawa menziarahi keluarga sahabat suami. Suami bertemu kawannya di ruang tamu, manakala saya diletakkan bersama isteri sahabatnya di dapur. Rupa-rupanya saya dipisahkan dengan suami kerana mahu mengelakkan percampuran lelaki perempuan bukan mahram.
“Saya merasa sangat kagum. Terdetik dihati saya, inilah yang sepatutnya. Didapur, isteri kepada kawan suami saya, kak Maya terus bertanya. ‘Berapa lama kahwin? Dah ada isi? Merancang ke?’. Saya jawab semua dengan jujur. Kak Maya terus berkata, ‘jika inginkan harta Allah, jangan kedekut untuk keluarkan harta kita’.
“Kata Kak Maya lagi, ‘sedekah tidak perlu tunggu duit banyak. Kadang-kadang dengan sebiji gula-gula yang ikhlas dihulurkan kepada seorang anak kecil pun boleh memberi kebahagiaan. Minta doa daripada anak-anak kecil. Lebih-lebih lagi, anak yatim. Kerana doa mereka tiada hijab.
“Saya mendengar penuh khusyuk. Saya minta Kak Maya teruskan, ‘tetapi, jangan sesekali menguji Allah. Jika masih belum dikurniakan rezeki, jangan sesekali berkata aku dah buat semua tetapi Allah tak bagi apa-apa, itu tanda kita tidak ikhlas. Jangan fikirkan sangat tentang anak. Tetapi doa jangan putus. Minta, harap. Tetapi, serah kepada Allah. Kena selalu bersangka baik’.
“Ya Allah, seperti tamparan hebat bila Kak Maya berkata tentang sangka baik. Saya yang overthinker ini, selalu sahaja berfikiran negatif. Kak Maya sambung lagi, ‘jaga badan. Badan ini amanah Allah. Gemuk tidak dosa, cuma jika ianya membuatkan kita jadi malas beribadah, bukankah rugi?’
“Kali ini bukan tamparan yang kak Maya bagi. Tetapi tendangan tanpa bayang. Berat saya memang dah berkilo-kilo naik selepas kahwin. Selera makan pun makin menjadi-jadi Dipendekkan cerita, baru saya tahu kenapa suami mengajak berkunjung ke situ. Untuk memulihkan semangat saya yang hampir lumpuh.
“Alhamdulillah, saya usaha menjadi orang yang baharu. Tentang anak, saya cuba lupakan. Tapi tetap terus doa. Saya dan suami lebih banyak memberi. Pantang lihat anak kecil, pasti akan saya berikan sesuatu. Hati rasa tenang bila lihat anak-anak kecil gembira. ‘Doakan acik dapat anak comel macam awak ya’. Itulah yang selalu saya katakan pada mereka.
“Terhibur juga bila ada anak kecil yang tanya doa itu apa. Sejak itu, saya mula sayangkan badan. Saya minum air tiga liter sehari. Makan ikut keperluan. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya juga kurangkan menyantap makanan proses dan jajan. Saya rasa sangat-sangat sihat. Badan terasa ringan. Sehinggakan suami menegur bahawa saya nampak berseri-seri!
“Bulan ketujuh, saya haid! Ini haid pertama saya selepas berkahwin. Asbab jaga kesihatan agaknya. Haid saya berketul-ketul, banyak. Saya perasan, period pain juga berkurang. Bulan kelapan, haid saya berhenti semula. Saya dah dapat agak. Sudah tentulah, kerada haid saya tidak teratur. Pasrah.
“Dalam kepasrahan, saya diuji pula dengan penyakit kencing kotor. Bayangkan, perasaan kuat mahu membuang air kecil. Tetapi bila cangkung, beberapa titik sahaja yang keluar. Saya jadi takut. Saya hubungi suami saya, dia pun balik tergesa-gesa. Masa itu saya menangis takut. Kami terus bergegas menuju klinik.
“Suami memujuk, ‘sudahlah, sekejap lagi kita tahu penyebabnya. Tak perlu takut sangat’. Saya tanya suami, ‘saya dah nak mati ke?’. Suami saya gelak, ‘dah mulalah itu’. Saya tanya lagi, ‘kalau saya mati nanti abang kahwin lain tak?’. Suami saya gelak lagi kuat. Saya cakap kalau suami kahwin lain, saya akan jadi hantu dan cekik isteri baru dia.
“Kali ini suami gelak tiada henti. Bila suami lihat saya dengan wajah serius, dia terus senyap. Dia cakap, ‘abang tak cari lain. Kalau awak jadi hantu, awak tetap jadi bini abang. Macam Nang Nak itu!’. Saya tersenyum. Ketika itu, saya lega. Walaupun mustahil, tapi kata-kata itu sudah cukup membuat hati saya berbunga-bunga.
“Hilang sekejap kerunsingan dan rasa sakit saya. Sesampainya di klinik, suami duduk di ruang menunggu. Saya pula masuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, dapat doktor perempuan. Saya ceritakan masalah kepada doktor. Dengan tenang doktor berkata itu memang petanda ada jangkitan kuman pada salur kencing.
“Doktor hulurkan bekas untuk tadah air kecing bagi pemeriksaan. Selesai semua, saya serahkan bekas kecil itu kepada doktor. Setelah beberapa minit, doktor keluar dan berkata, ‘memang ada jangkitan pada salur kencing. Kencing juga sedikit berbau. Ada sedikit darah juga’. Aku pun bertanya, ‘bahaya ke doktor?’.
“Doktor jawab, ‘tidak, cuma kalau tak dirawat bahaya kepada ibu mengandung’. Saya dengar dan menjawab dengan sayu, ‘mujur saya tak mengandung doktor’. Tiba-tiba doktor cakap, ‘masalahnya sekarang, awak dah mengandung!’. Doktor juga menunjukkan hasil ujian sambil tersenyum.
“Hati saya mula meracau tak tentu, ‘betul ke doktor?’. Suara saya sudah hilang rentak. Mata saya berkaca, saya cuba kawal diri. Di situ saya mula mencari kamera tersembunyi. Takutlah jika semua ini sebenarnya prank semata-mata. Sambil ucapkan tahniah, doktor kata kadang-kadang kencing kotor juga boleh menjadi simptom mengandung.
“Saya sudah diawang-awangan. Syukurnya ya Allah. Terjawab doa saya. Saya janji akan menjaga amanah ini baik-baik. Saya pandang perut saya. Indahnya ada nyawa si kecil di dalam rahim ini. Doktor juga bagi ubat insert untuk bunuh kuman dan minta aku minum banyak air kosong. Aku hanya mengangguk. Rasa sangat gembira.
“Keluar dari bilik doktor, saya lihat suami. Dalam hati saya terjerit-jerit ‘abangggg!! Saya mengandung!’. Tetapi bibir saya cuma tersenyum. Selepas membuat bayaran dan mengambil ubat, suami dengan tenang memimpin saya ke kereta. Suami tanya, ‘ok sahaja kan? Tak jadi Nang Nak kan?’.
“Kali ini saya pula yang tergelak. Dalam hati, ‘iya bang, tak jadi Nang Nak. Tetapi jadi anak’. Suami tanya apa yang doktor cakap. Saya cuma jawab jangkitan kuman. Allah sahaja tahu betapa hati saya terlalu ingin meluahkan berita gembira ini. Tetapi saya sebenarnya inginkan sesuatu yang lebih dramatik. Saya minta suami singgah farmasi untuk beli panadol.
“Tanpa banyak bertanya, suami cuma mengikut. Di farmasi saya beli kit ujian kehamilan yang paling mahal. Saya difahamkan kit tersebut boleh meramal usia janin. Sampai sahaja rumah, saya kata pada suami saya ingin berehat dan terus masuk ke bilik air. Saya tadah kencing dan keluarlah pada kit itu, ‘pregnant, 2 to 3 weeks’.
“Ya Allah indahnya. Lama saya tenung kit itu. Macam jatuh cinta pula. Tanpa buang masa, saya keluar. Suami sedang menonton televisyen, saya terus matikan. Dia terkejut, saya kumpul tenaga. Saya kawal empangan di mata yang hampir pecah. Saya serahkan kit kehamilan. Dia yang mulanya tenang akhirnya bangun dan terus memeluk saya.
“Kami menangis! Beberapa minit jugalah. Habis baju saya lencun. Baju dia pun sama. Ini pertama kali saya lihat dia menangis dengan bersungguh. Saya cuba menyelami perasaan dia sebagai suami. Saya tahu kelelakian dia tercabar kerana tidak berjaya membuat saya hamil sebelum ini. Disebabkan suami seorang lelaki, dia hanya mampu pendam dan berdoa.
“Dia lihat perut saya, dia usap. Dia pandang saya dan ucapkan terima kasih. Kami berpelukan lagi. Tak ubah macam babak drama yang ditayangkan di waktu Maghrib. Sebenarnya sekarang ini, bila saya ingatkan tentang peristiwa peluk-peluk ini, suami kata dia tak ingat langsung! Malulah itu. Begitulah kisahnya.
“Doa, doa, doa, dan doa. Allah suka bila kita meminta. Merayu dan merintih. Tetapi kena usaha juga. Kita usaha kerana Allah suka orang yang berusaha. Bukan kerana usaha penentu kejayaan. Usaha hanya asbab! Ketahuilah, segala-galanya hatta ingin mengangkat jari pun, adalah dengan izin Allah!
“Kepada yang TTC (Trying To Conceive), saya doakan semua bertemu si comel nanti. Jangan pernah letih berdoa. Jika tidak direzekikan, pasti Allah merencana sesuatu yang lebih indah. Sebelum ni, saya memang bertekad, jika tidak mampu memiliki anak sendiri, harap ada rezeki untuk mengambil anak angkat.
“Kerana saya perlukan doa dari anak-anak jika telah tiada di dunia nanti. Baiklah, askar-askar saya dah minta makan pula. Saya undur diri dulu ya. Ada masa, saya membebel lagi.” Kongsi Julia menerusi portal luahan hati di atas talian.
Baca juga: “Saya angkat anak nak hempas dia ke dinding” – Azhar Sulaiman