“Dah buang, kena halau lagi”, Syada Amzah dedah keluarga dihalau keluar rumah?

Oleh WAN SITI AMINAH

Kontroversi yang menyelubungi keluarga penyanyi, Shila Amzah nampaknya masih belum berakhir selepas ibu bapanya bercerai pada bulan lalu.

Timbul masalah baharu, adiknya iaitu Syada Amzah mendedahkan bahawa ibu dan adik-beradiknya bakal dihalau keluar daripada kediaman mereka tidak lama lagi.

Syada yang juga seorang penyanyi itu mendakwa ada individu yang tidak dikenali tiba-tiba datang ke rumah milik keluarganya untuk ‘melihat’ kediaman tersebut.

Kedatangan individu terbabit telah menimbulkan tanda tanya berikutan keluarganya tidak pernah berniat untuk menjual rumah yang menjadi tempat mereka berlindung.

Tular di media sosial, pendedahan tersebut dibuat pemilik nama penuh Nursyuhada Amir Amzah itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramstory’ miliknya.

Menerusi hantaran berkenaan, gadis berusia 25 tahun itu meluahkan rasa terkilan kerana mendakwa dirinya bukan sahaja telah dibuang malah dihalau pula.

“Hari ini tiba-tiba orang tidak dikenali muncul di depan rumah, nak tengok dalam rumah. Padahal tidak ada letak ada-apa papan tanda untuk jual pun.

“Gilalah, rasa macam kita ini haiwan jalanan pula. Tanpa ada sebarang notis. Dah kena buang, kena halau lagi. Genius betul,” kata peserta Big Stage musim kedua itu.

Anak gadis kepada penyanyi era 80-an, Datuk ND Lala itu bagaimanapun tidak menjelaskan siapakah individu yang bertindak menjual kediaman tersebut.

Sementara itu, Syada Amzah turut meminta maklumat mengenai kediaman untuk disewakan yang bakal didiami olehnya bersama ibu, Fauziah Sarman dan adik-beradiknya.

“Mana nak cari rumah sewa? Saya, Caca (anak saudara), abang, ibu dan anak bulus (kucing) perlukan tempat untuk tinggal tidak lama lagi.” Ujarnya meminta bantuan.

Tinjauan mendapati hantaran yang dimuat naik oleh Syada itu telah dipadam setelah berhasil menyita perhatian orang ramai.

Terdahulu, Syada pernah memuat naik ‘surat terbuka’ buat bapanya, ND Lala yang membuat keputusan untuk meninggalkan mereka demi seorang wanita muda.

ND Lala kemudian didedahkan telah mendirikan rumah tangga bersama isteri keduanya yang pernah bersekolah bersama Shila Amzah iaitu Siti Munirah Abdul Ghani.

Pergolakan rumah tangganya berakhir setelah ND Lala menceraikan isteri pertamanya, Fauziah iaitu ibu kepada Shila Amzah pada 2 Ogos lalu.

Baca juga: “Suami curang sebab aku tak teman dia ‘live’ di TikTok, habis anak siapa nak jaga?”