Malaysia Dateline

Dah dalam kerajaan, pemimpin Pas jadi pengulas filem

Rata-rata warganet menyindir Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang mengulas filem bersiri “Salahudin Al Ayyubi: Pembebas Al Quds”.

“Turki dan Pakistan akan bekerjasama untuk menerbitkan filem bersiri “Salahudin Al Ayyubi ~ Pembebas Al Quds”

“Filem ini dijangka akan mendapat sambutan luar biasa dari seluruh dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Walau bagaimanapun, dia yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dihujani kritikan dan sindiran termasuk mengaitkan Peristiwa Memali yang mengorbankan 18 nyawa selain mencederakan puluhan orang lagi di Baling, Kedah pada 1985.

“Bos, boleh mulakan dengan Memali Berdarah.. Amacam,” perli Muhamad Nur Ismail.

Sikap Pas ekoran tindakan Kementerian Kewangan meluluskan permohonan daripada semua Agensi Nombor Ramalan (NFO) untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun ini juga disinggung warganet.

“Pembebasan kedai judi… pasti meletup,” usik Shamsul Effendey.

Bahkan, kelantangan Pas berkaitan ketika 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut dilemparkan kembali kepada parti itu yang kini sama berkongsi kuasa dengan Umno dan Bersatu di Putrajaya.

Antara isu yang ‘garang’ dimainkan pihak Pas sebelum ini ialah kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada 2018 dan pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

“Malaysia pun boleh buat filem berkaitan kes Adib, RUU 355, pemandu mabuk dan lain-lain,” tempelak Hanafi Sulaiman.