Malaysia Dateline

Dah dua tahun Umno-Pas perintah: Selesaikah bela Adib, RUU 355, hudud, pramugari pakai tudung?

Dah lebih dua tahun PN jadi kerajaan, apakah pembelaan terhadap anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban, Rang Undang Undang 355 (RUU 355) Hudud dan pramugari memakai tudung yang sering mereka dombakan sebelum ini telah berjayakah mereka selesaikan?

Soalan ini dilontarkan spontan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semasa ceramah sempena siri jelajah PH PRU-15 Melayu Bermaruah di Teluk Bagan, Pengkalan Kundur, malam tadi.

Tegasnya, jika sebelum ini Pas kerap mempersoalkan isu pembelaan terhadap anggota bomba Adib yang terkorban, RUU 355, hudud dan pramugari pesawat yang perlu bertudung, mengapa kini ianya sunyi sepi setelah mereka menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa.

Malah kata beliau lagi, adalah amat merbahaya dan salah sekiranya dakwaan yang kerap dipermainkan bahawa Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno atau pun Pas itu Islam dan Islam itu adalah Pas, maka semuanya akan menjadi rosak.

Mujahid Yusof Rawa

“Harus kita ingat, bahawa di Malaysia bukan semua orang Melayu itu adalah Umno dan bukan juga semua Melayu itu adalah Pas kerana Melayu juga ada bersama AMANAH dan Melayu juga ada bersama PKR.

“Yang perlu diutamakan ialah Melayu Islam yang bermaruah dan sekiranya ingin membela Melayu tidak semestinya ia adalah Melayu Umno sahaja maupun Melayu Pas semata-mata.

“Tempoh 22 bulan PH memerintah dan menjadi kerajaan, segala usaha telah dibuat bagi membela Melayu dan Islam termasuklah membawa keadilan untuk semua serta menentang rasuah.

“Namun begitu amat memalukan kini apabila mereka berkuasa perasuah cuba dijunjung dengan penuh bangga tanpa rasa bersalah sekelumit pun demi membela Melayu, ” tegasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar.

Tambah beliau, kini sudah sampai masanya orang Melayu perlu membuka mata dan sedar, sekiranya ada yang hanya mahu menjadi penunggang agama ia tidak wajar disokong, sebaliknya mendukung apabila Islam itu dimartabatkan dan dimuliakan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Baca juga Wang tabung angkatan tentera tak harus jadi alat untuk projek sakit kerajaan

Baca juga Jangan ‘follow’, tonton atau beri perhatian pada ‘content’ murahan yang dicetus semata untuk viral