Malaysia Dateline

‘Dah macam Final Destination’, pemandu terkejut besi dari lori pecahkan cermin depan kereta atas lebuh raya

Satu rakaman video dashcam tular setelah sebuah kereta mengalami kerosakan pada cermin depan apabila sebatang besi buruk terjatuh dari lori di atas lebuh raya hingga menyebabkan ia terasa seperti filem Final Destination.

Pemandu tersebut kekal tenang dan tidak panik sejurus insiden itu berlaku namun, lori terbabit ‘meninggalkan’ tempat kejadian begitu sahaja seolah-olah tidak sedar dengan situasi tersebut.

Menurut pemilik dashcam, ketika kejadian berlaku dia bersama dengan seekor anjing peliharaan yang sedang berada di tempat duduk belakang.

Dah macam Final Destination

Apa yang lebih mengejutkan, tiada nombor pendaftaran yang jelas dapat dilihat pada lori tersebut hingga warganet memanggilnya lori hantu.

“Gila, itu lori hantu. Tak nampak nombor plat,” komen pengguna Facebook, Prysie March Arryie.

“Nampaknya lori tersebut tidak mempunyai nombor plat kereta,” tambah pengguna lain, Martin Shek Wai Hong.

“Ni dah macam Final Destination dalam dunia sebenar. Syukur tiada orang disitu tapi kalau pemandu berada di sebelah kiri macam mana,” komen pengguna Twitter @MSazriman.

Seorang wanita, @dayang_fazal berkongsi pengalaman yang menimpa pakciknya, malangnya pakcik itu meninggal dunia akibat kejadian sama.

“Pakcik saya meninggal sebab situasi hampir sama. Tertusuk besi dari lori depan, besi tu terlalu panjang dan melebihi kapasiti.

“Arwah berada di bahagian hadapan penumpang, anak arwah sampai tiga kali pengsan waktu tatap jenazah.

“Sampai sekarang kami sekeluarga trauma kalau lalu tepi lori yang besar, laju dan lebih muatan,” ujarnya.

Pada masa sama, mangsa memberitahu dia sudah membuat laporan polis dan akan membuat tindakan susulan selepas mendapat khidmat nasihat daripada pihak peguam.

Baca juga: Mewah itu subjektif, lelaki anggap KFC makanan mahal masa kecil