Seorang pelayan restoran makanan laut merayu agar pelanggan membayar bil makanan yang tertunggak sebelum gajinya dipotong oleh majikan.
Menerusi satu postingan di akaun Facebook milik restoran terbabit, bil makanan tersebut mencecah ratusan ringgit.
Difahamkan, pelanggan dari tiga meja yang berbeza bertindak meninggalkan restoran tanpa menjelaskan sebarang bayaran pada hari yang sama.
“Pelanggan dari meja 11, meja 5, dan meja 34, sekiranya anda terlupa untuk membayar bil, sila jelaskannya apabila anda sudah ingat.
“Tiga meja ‘hilang’ dalam masa satu hari, ini sudah melampau,” kata pemilik restoran yang terletak di Butterworth, Pulau Pinang itu.
Berdasarkan resit yang dimuat turun oleh restoran terbabit, bil yang tertunggak dari tiga meja tersebut masing-masing berjumlah RM108, RM218 dan RM397.
Oleh yang demikian, sekiranya majikannya serius mahu memotong gaji, pelayan tersebut terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM723.
“Saya hanya bekerja sementara di sini, gaji saya bakal dipotong disebabkan masalah ini,” rayu pelayan restoran tersebut di dalam postingan yang sama.
Diharapkan hantaran tersebut bertujuan untuk ‘memancing’ pelanggan menjelaskan hutang dan tidak benar-benar memotong gaji pekerjanya.
Baca juga: Guna alasan pekerja dimaki, wanita berang pemilik restoran tak faham situasi