Malaysia Dateline

Dah masuk dalam tubuh, jangan bimbang, kata ulamak Pas

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani berkata, “tidak menjadi masalah” jika termakan daging haram.

Penceramah azab kubur itu berkata, isu daging haram yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini adalah perkara yang sudah berlalu.

“Kita tak tahu (pada masa itu) halalkah (atau) haram tapi dah masuk dalam tubuh badan kita, maka itu menjadi perkara yang dipanggil (hal) dah lepas, tak perlu untuk kita cari dan cungkil kembali,” katanya.

Yang Dipertua Pas Kawasan Shah Alam itu berkata demikian dalam satu hantaran berbentuk video ringkas di media sosial hari ini.

Anak saudara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tersebut berkata jika daging itu memang diketahui haram, maka memang Islam melarang umatnya untuk memakan bahan tersebut atau berdepan dengan seksaan neraka.

“Jadi, kalau yang dah lepas-lepas, tak jadi masalah, cuma kita diajar supaya beristighfar dan bertaubat kepada Allah,” ujarnya.

Dia yang pernah mengadakan solat tahajjud untuk tiga malam ganjil terakhir bulan Ramadan secara langsung di Facebook itu berkata, sesetengah ulama dulu mempunyai kaedah agar daging haram yang masuk ke badan mereka boleh “dineutralkan”.

“Ada sesetengah orang alim ulama, dia baca ayat-ayat al-Quran untuk menjadikan neutral balik benda-benda yang haram tadi.

“Dia baca, banyakkan zikir dan sebagainya… (jadi) tak ada masalah, jangan bimbang,” katanya lagi.