Dah puas tabur janji manis, ejen insurans ditahan polis lepas raih untung RM2.8 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Berbekalkan janji-janji manis, seorang lelaki bergelar ejen telah berjaya mengaut keuntungan lebih RM2.8 juta dengan hanya menjual polisi insurans.

Memperoleh pendapatan lumayan, lelaki berusia 45 tahun yang pernah bertugas sebagai ejen insurans itu tiba-tiba ditangkap oleh pihak polis.

Rupa-rupanya lelaki berkenaan telah bertindak memperdaya orang ramai dengan menawarkan polisi insurans premium yang palsu dan tidak wujud.

Pernah dikenakan tiga waran tangkap, lelaki itu memanfaatkan pengalamannya sebagai bekas ejen insurans dengan memalsukan dokumen polisi.

Kes ini mula terbongkar pada awal Januari lalu setelah syarikat insurans menerima sembilan aduan daripada pelanggan mengenai masalah tuntutan.

Hal ini kerana, pemegang polisi dipercayai gagal membuat sebarang tuntutan walaupun telah membuat bayaran selama lebih lima tahun.

Syraikat insurans kemudian segera membuat laporan polis apabila mendapati pemegang polisi rupanya dibekalkan dengan dokumen palsu.

Memetik laporan Bangkok Post, kejadian itu berlaku di wilayah Chon Buri, Thailand dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi 22 juta bath (RM2,877,502.16).

Berdasarkan dokumen palsu yang diberi kepada pelanggan, pihak polis berhasil mengenal pasti suspek iaitu bekas ejen insurans bernama Setthawut.

Pihak berkuasa Thailand daripada unit Penindasan Jenayah Ekonomi kemudian menahan Setthawut di sebuah stesen minyak di Chon Buri.

“Setthawut dikehendaki kerana memalsukan dokumen, menipu pelanggan dan memasukkan maklumat palsu ke dalam sistem komputer. 

“Kesalahan itu berpunca daripada penjualan polisi insurans hayat dan kegagalan untuk benar-benar menetapkan polisi tersebut.” Katanya memetik Bangkok Post.

Setakat ini, suspek difahamkan telah menafikan kesemua pertuduhan dan penyiasatan masih dijalankan agar tindakan undang-undang boleh dikenakan kepadanya.

Baca juga: Gagal tahan nafsu hingga terlanjur dengan suami orang, wanita rupanya disihir dari remaja lagi