Sepatutnya bila sudah berusia maka diri lebih matang dalam membuat keputusan namun jika sekali dah terjebak dengan dadah maka sukar untuk buang tabiat lama.
Disebabkan itu ramai dinasihatkan untuk tidak terjerumus dalam dadah, malah banyak kempen dianjurkan tapi tetap ada yang terjebak.
Dalam satu operasi ‘Ops Sarang; yang dijalankan antara 18 hingga 21 April tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor telah mengenal pasti beberapa kawasan di pot.
Kebanyakkan kawasan ini dikenalpasti sebagai sarang pengedar dan penagih dadah di sekitar daerah Kajang, Selangor.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Polis Selangor, operasi itu dijalankan bagi membasmi lokasi yang dijadikan sarang menjual dan penyalahgunaan dadah.
“Di dalam operasi ini, satu pot atau sarang penagih telah digempur dan telah berjaya menangkap dua orang pengedar serta pembekal dadah.
“Modus Operandi yang dijalankan adalah penagih akan menunggu pembekal (tokan) datang ke pot untuk menjual dadah,” kata hantaran di Facebook.
Operasi tersebut berjaya menahan 17 orang warga tempatan dan seorang bukan warganegara.
Seramai 18 lelaki telah ditangkap dengan pelbagai kesalahan dadah, melibatkan 17 rakyat tempatan dan seorang bukan warganegara yang berusia lingkungan 31 hingga 62 tahun.
“JSJN Selangor turut merampas dadah jenis Heroin dengan anggaran berat 2.91 gram, dan dianggarkan bernilai RM 72.80.
“Ujian saringan air kencing telah dijalankan dan didapati kesemua tangkapan positif dadah,” kongsi hantaran tersebut.
Menurutnya, ujian air kencing mendapati kesemua individu terbabit positif dadah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ops Sarang dijalankan oleh JSJN Selangor adalah salah satu inisiatif dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai sarang pengedar dan sarang penagih dadah di sekitar Selangor.
Baca juga: Adik dakwa Nur Nilam diserang ‘perempuan gila’, Azlan Komeng halang buat laporan?