Dahulu ahli Pas diajar benci kepada BN, kata Mat Sabu

Dahulu ahli Pas diajar benci kepada BN, kata Mat Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menempelak parti lamanya Pas yang dahulu cukup benci dengan BN tetapi kini hubungan keduanya bertambah mesra.

Malah katanya yang juga Menteri Pertahanan, sewaktu beliau bersama Pas ahli-ahli parti itu telah diajar untuk benci kepada BN.

“Parti saya dulu (Pas) tak boleh tengok bendera dacing (BN) tu. Kadang-kala, kami nampak bendera dacing, tak mahu lalu bawah, dan pusing jauh.

“Begitulah kami diajar untuk benci dengan dacing ini. Sekarang, pemimpin parti saya dulu dengan dacing ‘uh uh uh’.

“Dulu bila kita buat tuduhan (Pas bekerjasama dengan BN) mereka nafi. Takda hubungan. Rupanya ‘uh uh uh’,” katanya, dipetik Astro Awani. sambil disambut gelak ketawa para penyokong dan pengundi yang hadir

Mohamad berkata demikian ketika bertemu dengan pengundi Cameron Higland di Sungai Koyan 1 semalam.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengundang gelak tawa para penyokong dan pengundi yang hadir dengan jenakanya sambil menyindir Pas.

Beliau secara berseloroh berkata, Pas dan BN kini amat mesra, sambil membuat isyarat tangan seolah-olah membayangkan kedua dua pihak sedang bercumbu.

Amanah dibentuk selepas Muktamar 2015 apabila kumpulan progresif Pas tewas dalam pemilihan parti itu.