Malaysia Dateline

‘Dahulu Ismail berhujah dengan nada rasis, sekarang cakap pasal Keluarga Malaysia’

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meragui dengan semangat Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Ismail dan partinya yang dahulu sentiasa membangkitkan isu-isu perkauman, sukar untuk dipercayai apabila kini mula bercakap tentang Keluarga Malaysia.

“Umno itu sendiri gunakan isu perkauman kepada tahap merbahaya. Mereka tak mengkritik dasar kita, tak sebut perjalanan dasar kita.

“Tapi dia ktitik kita guna isu (arwah Muhammad) Adib, isu Dong Zhong, gunakan isu aset Tabung Haji dengan nilai kebencian perkauman, sehingga menggunakan isu mabuk untuk dikaitkan dengan kerajaan Pakatan Harapan.

“Bayangkan hari ini orang yang sama berhujah dengan nada begitu rasis sekali, bercakap kepada dunia tentang Keluarga Malaysia.

“Sukar nak percaya sebab dia tidak didatangkan dengan satu falsafah,” katanya dalam segmen Borak Dahsyat yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.

Pada masa sama beliau berkata, untuk membuktikan semangat keluarga Malaysia itu, Ismail sepatutnya mempertahankan kekayaan harta negara sendiri.

Namun katanya, laporan Pandora Papers yang mendedahkan tentang trilion harta dan wang yang dibawa keluar daripada Malaysia, tidak mendapat perhatian dari Ismail.

“Hingga saat ini PM yang jadi ketua rumah Keluarga Malaysia ini tidak responsif kepada satu keperluan adik beradik dia yang minta supaya harta dari rumah mesti dilindungi dan dibuat jawatankuasa untuk lihat siapa yang bersalah dan apa yang berlaku.

“Sampai sekarang Perdana Menteri nak jaga harta trilion pun dia tak boleh tunjuk komitmen. Saya tak percaya dengan tema ini lagi,” katanya ringkas.