
Da’i Syed didakwa rogol, tuduhan ketiga hari ini
Pendakwah produk TV realiti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful didakwa buat kali ketiga petang ini dengan terkini di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan merogol seorang wanita.
Suspek yang juga penyanyi dan pelakon itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Pendakwaan terhadap rertuduh berusia 25 itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bekas peserta Da’i Pendakwah Nusantara (Musim 4) pada 2016 berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik beralamat No E-04-23, Hyde Tower, I-City, PSN Multimedia, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 11.35 malam, 11 September 2019.
Pemilik laman sosial Instagram yang menggunakan nama @daisyed_ dengan 294,000 pengikut itu memakai kemeja-T biru petang tadi.
Tertuduh tiba di mahkamah kira-kira 3 petang dan sebelum memasuki bilik mahkamah sempat mengucapkan terima kasih kepada wakil media yang menanti sejak 9 pagi.
Terdahulu, Da’i Syed berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya pagi tadi, iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita.
Pelakon drama waktu Maghrib, Cinta Sekali Lagi di TV3 itu turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan tersebut.