Malaysia Dateline

Daim jumpa pemimpin Umno bukan isu besar, saya pun berjumpa, kata Anwar

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyangkal berlaku beberapa pertemuan pemimpin Umno dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata sekiranya berlaku bertemuan itu ia bukan satu isu besar dalam Pakatan Harapan (PH) kerana ia adalah perkara biasa dikalangan ahli politik pembangkang dan kerajaan.

Bahkan Anwar menolak kemungkinan dakwaan pertemuan itu sebagai fitnah pihak pembangkang untuk memecah belahkan pimpinan PH.

“Apa fitnah pula..kalau Tun Daim nak jumpa MP Umno tidak salah. Saya jumpa di airport (lapangan terbang) dua orang selisih, saya tanya khabar, nak kekal dalam  Umno ke…bagi saya tiada masalah.

“Saya tidak fikir ia dijadikan satu isu yang boleh menimbulkan ketegangan di antara kita (parti gabungan),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam berhubung keputusan beberapa pemimpin Umno keluar parti kerana kononnya  menerima ugutan daripada Daim yang didakwa terkait dengan rasuah.

Anwar juga berkata, pendiriannya adalah berdiri teguh dibelakang Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun terdapat komplot ahli-ahli parti dalam Umno  yang berhasrat untuk menjatuhkan orang lain secara tafsiran peribadi mereka, bagi dirinya,  adalah tidak layak.

“Saya berpegang dengan keyakinan kepada Tun Mahathir dan beliau berikan kerjasama dan sokongan cukup kuat kepada saya,” ujarnya.

Ditanya kesediaan beliau secara peribadi sekiranya pemimpin Umno yang keluar parti menyertai PH, katanya lagi: “Bila mereka mohon kita akan bawa dalam mesyuarat Pakatan Harapan.” ujarnya.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution.