Malaysia Dateline

Daim Zainuddin

Daim mahu koperasi bantu kerajaan turunkan harga barang

Koperasi-koperasi seluruh negara kini mencecah 6.5 juta diseru bergerak aktif bagi menurunkan harga barang khususnya barangan keperluan harian.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata sebagai badan milik bersama koperasi berpotensi membantu kerajaan menghadapi tekanan kenaikan harga barang.

“Ahli koperasi adalah pemilik dan pengguna sekali gus, jadi tentunya tujuan utama kita untuk mengurangkan kos barangan dan perkhidmatan,” katanya ketika merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh Perdana Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Tumpat pagi tadi.

Daim yang merupakan mantan Menteri Kewangan Malaysia berkata beliau yakin rakyat Kelantan mempunyai keupayaan untuk menjayakan gerakan koperasi yang kini jadi keutamaan kerajaan Malaysia.

“Rakyat Kelantan bertuah kerana kerajaan bersetuju menyegerakan lima projek mega utama termasuk pembinaan jambatan Palekbang – Kota Bharu yang akan menyemarakkan pembangunan ekonomi Tumpat.

“Suntikan ekonomi ini akan membolehkan rakyat mengambil bahagian yang lebih cergas khususnya mengaktifkan koperasi,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Radhi Jidin berkata koperasi perlu memainkan peranan untuk mengurangkan jurang antara kaum, wilayah, jurang antara orang kaya dan miskin, juga mengurangkan jurang rantaian pengedaran.

“Kita tidak boleh menafikan jurang di antara kaum di negara ini masih terlalu tinggi.

“Pegangan Bumiputera dalam perniagaan hanya 5%, manakala dalam industri hanya 1%.

“Kerajaan berharap pergerakan koperasi menjadi pilihan terbaik untuk mengurangkan jurang berkenaan,” katanya.

Pengerusi SKM Datuk Nordin Salleh dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada koperasi-koperasi utama Kelantan yang menjayakan majlis itu.

“Untuk pengetahuan semua perbelanjaan adalah sumbangan koperasi-koperasi yang berjaya di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamad, Pengerusi KADA Datuk Husam Musa dan Pengerusi PPBM Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor.