Fitnah Ahli Parlimen DAP bukan muslim jujur dan taat agama, Adun Pas mohon maaf

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berhubung kenyataan berbaur fitnah dibuatnya terhadap wakil rakyat DAP berkenaan.

Permohonan maaf dibuat tanpa syarat dan secara nyata tersebut dikongsikan Mohd Shafie yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Bangi itu menerusi satu perkongsian dimuat naik olehnya di akaun Facebook rasmi miliknya pada pagi Jumaat.

Difahamkan, kenyataan berbaur fitnah tersebut dibuat Mohd Shafie beberapa tahun lalu dengan melemparkan dakwaan bahawa Syahredzan bukanlah seorang muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.

Dakwaan itu dibuat menerusi Facebook Live di akaun media sosial miliknya pada 25 Oktober 2022 (menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia) serta antara 8 Julai 2023 hingga 12 Julai 2023 (menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor).

Mohd Shafie juga mengakui menerima perintah injunksi interim dari Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 19 Februari 2024 lalu yang menyekatnya daripada membuat sebarang kenyataan lanjut yang bersifat fitnah terhadap Syahredzan.

“Saya mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah secara penuhnya tidak benar, tidak berasas dan secara keseluruhannya tidak mempunyai sebarang merit. Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut.

“Serta secara penuhnya menyedari kecederaan, keresahan dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindaka- tindakan saya kepada Syahredzan. Sehubungan itu, saya dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat.

“Saya juga memberikan aku janji tanpa bersyarat dan secara nyata untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan-kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau yang berkemungkinan memfitnah Syahredzan dalam apa jua bentuk atau cara,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Mohd Shafie juga mengambil tanggungjawab penuh dengan mengatakan komitednya untuk bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat dan berintegriti pada masa hadapan.

Sekadar info, permohonan maaf itu hasil penghakiman persetujuan yang direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 September 2025 berhubung saman fitnah yang difailkan oleh Syahredzan terhadap Shafie sebelum ini.

Terdahulu, Syahredzan memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Shafie pada Ogos 2023 selepas wakil rakyat Pas itu gagal memohon maaf dan membayar ganti rugi atas kenyataan yang didakwa memfitnahnya dalam acara Perikatan Nasional (PN).

Baca juga: Tersentuh dengan nasib Sathiya, Datuk Ameer Ali Mydin tampil hulur bantuan