Malaysia Dateline

Dakwa Agong rasis: Khalid akan saman Najib, Rezuan RM10 juta

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad akan menyaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Rezuan Yusof kerana mendakwa beliau menuduh Yang Dipertuan Agong rasis.

Dalam sidang medianya hari ini, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau telah mengarahkan peguam untuk berbuat demikian segera.

Menurut Khalid, apa yang beliau nyatakan dalam ceramah beliau sebelum ini adalah tindakan pihak-pihak tertentu yang memainkan isu perkauman sehingga dibimbangi penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak cukup majoriti.

Hasilnya, kata Khalid, Agong telah memberikan peluang kali kedua untuk membuktikan jumlah ahli Parlimen yang menyokong mencukupi.

Dalam pusingan kedua ini, Perikatan Nasional (PN) telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bakal PM, manakala PH menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khalid mendakwa, peluang kedua telah disalahgunakan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin apabila memasukkan enam anggota parlimen penyokong Tun Dr Mahathir menyokong beliau.

“Orang yang patut minta maaf kepada Agong adalah Redzuan dan Muhyidin kerana membohongi baginda dengan mendakwa orang yang bukan penyokongnya menyokong beliau.

“Saya telah mengarahkan Rezuan dan Najib disaman RM10 juta kerana damage besar yang telah dibuat,” kata Khalid.

Dua hari lepas, peguam Khalid telah menghantar surat tuntutan kedua kepada laman web FMT kerana mendakwa beliau berkata apa yang beliau tidak kata.

Kalau surat tuntutan pertama menuntut FMT membayar pampasan RM1 juta, surat kedua pula menuntut pampasan RM2 juta.

Khalid menyaman FMT ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau telah memaksa Tun Mahathirr meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya menulis, ‘Tun letak jawatan. Dijadikan PM interim…’. Tetapi FMT dalam berita Bahasa Inggerisnya menulis ‘Tun must resign. Be the interim prime minister…’ (Tun mesti letak jawatan, jadi PM interim).”

Berita penuh https://malaysiadateline.com/berita-palsu-khalid-tuntut-rm1-juta-dari-fmt/