Malaysia Dateline

Dakwa BN beri IC pada Pati untuk raih undi: Maximus Ongkili jolok sarang tebuan

Sekurang-kurangnya setengah dozen Ketua Menteri Sabah tidak akan menjadi Ketua Menteri Sabah jika tidak kerana masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili, menjolok sarang tebuan apabila dia menuduh Barisan Nasional sebagai terlibat dalam skim pemberian kewarganegaraan untuk meraih undi yang dikatakan memberi manfaat kepada pendatang tanpa izin kerana “mereka tidak mahu PBS menjadi kerajaan di Sabah”.

Seorang bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak, dalam konvensyen BN Sabah semalam telah mengatakan yang tuduhan Ongkili ini adalah fitnah.

Dia mengatakan: “Saya sangat marah membaca berita itu, Datuk Max (Maximus) gila, dia buat kenyataan mengatakan parti dalam BN ada pengundi palsu, keluarkan IC palsu… kalau dia sebut BN kita akan buat laporan polis kerana ini fitnah.”

Bantahan Salleh ini keterlaluan, kerana Ongkili sebenarnya bercakap benda yang benar. Malah bekas Perdana Menteri Najib Razak sendiri mengakui yang wujudnya satu projek yang dikenali sebagai “Projek IC”.

Tetapi pemimpin PBS, terutamanya Joseph Pairin Kitingan dan Ongkili, tidak terlepas dari salah, kerana Joseph Pairin adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah selama 14 tahun dari 2004 sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 selepas menyertai Barisan Nasional pada tahun 2002 manakala Ongkili adalah Menteri Kabinet dari tahun 2004 sehingga 2018 dan kedua-dua mereka tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah ini.