Dakwa campur tangan keputusan fatwa P Pinang dedah kelemahan Pas

Dakwa campur tangan keputusan fatwa P Pinang dedah kelemahan Pas

Dakwaan Pas bahawa Pulau Pinang campur tangan dalam keputusan fatwa negeri mendedahkan kelemahan wakil mutlak parti Islam itu Datuk Mohd Salleh Man selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu menjawat kedudukan penting dalam pentadbiran negeri berkaitan hal-ehwal Islam.

“Apakah Pas membayangkan bahawa mereka gagal menggunakan Salleh Man sebagai wakil mereka bagi memenuhi apa jua agenda Islam yang mahu dilakukan di Pulau Pinang,” kata Mujahid, memetik laporan Malaysiakini.

Beliau yang juga ahli Parlimen parit Buntar mengulas kenyataan kontroversi oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Fauzi Yusof yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR telah ‘campur tangan’ dalam keputusan jawatankuasa fatwa.

Fauzi dipetik sebagai berkata, ini kerana keputusan oleh jawatankuasa itu telah dibentangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri sebelum mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim pula menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘fitnah’.

Dalam perkembangan yang sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor menafikan gangguan, menggesa Pas tidak mempolitikkan keputusan mengenai fatwa.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, adalah jelas eksekutif tidak boleh mengganggu keputusan jawatankuasa fatwa kerana badan itu melapor terus kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Keputusan mengenai fatwa itu sendiri muncul selepas perbincangan dari pakar dan bertanggungjawab terus kepada Agong,” katanya kepada Malaysiakini.

“Bagaimana parti Islam seperti Pas tidak tahu tentang sistem fatwa? Bagaimana mereka (Pas) tidak membuat bising apabila menjadi sebahagian daripada pentadbiran,” tanya beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)