Malaysia Dateline

Dakwa Ketua AWAN hipokrit, Pensyarah Kanan UUM mohon maaf

Seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini memohon maaf selepas didakwa menyiarkan satu tulisan yang tidak benar terhadap Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional, Aiman Athirah Al Jundi.

Menurut kenyataan tuntutan Aiman petang tadi, Dr Kamarul Zaman Yusoff dikatakan memuatnaik tulisan melabel Aiman dengan ayat ‘Ketua Wanita AMANAH yang hipokrit’.

Malah, Aiman turut memberikan tempoh 48 jam untuk Kamarul memohon maaf secara terbuka dan menarik semula tuduhan terhadap senator Dewan Negara itu.

Walau bagaimanapun tulisan berkenaan telah dipadam dari akaun penganalisis politik terbabit.

Kamarul dalam satu posting di Facebooknya berkata, beliau sedar akan kekhilafannya menafsir ucapan Aiman dalam satu video yang didakwa hanya diambil dari sebahagian ucapan sahaja.

Difahamkan, dalam posting tersebut, Kamarul memuatnaik video rakaman Aiman Athirah menanyakan soalan kepada Presiden Pas mengenai isu tahaluf dalam satu majlis Pas pada awal tahun 2015.

“Keterkhilafan saya adalah kerana menganggap soalan yang ditanyakan oleh Aiman Athirah ini adalah berbentuk cadangan, iaitu supaya diwujudkan tahaluf antara Pas dan Umno.

“Atas keterkhilafan saya ini, saya memohon maaf kepada Aiman Athirah atas apa-apa masalah yang berbangkit daripadanya,” katanya.

Dalam posting permohonan maaf itu juga, Kamarul mendakwa beliau sedikit keliru dengan pendirian politik sebenar Aiman Athirah sewaktu krisis dalaman Pas pada tahun 2015.

Beliau berkata, seingatnya pada peringkat awal, Aiman pernah menafikan terlibat dengan kumpulan penentang Presiden Pas.

“Saya juga sebelum ini memandang agak positif Aiman Athirah kerana beliau pernah dilapor menegaskan di dalam Konvensyen PH pada 12 November 2016 bahawa PH perlu menyediakan dokumen agenda Melayu Islam.

“Saya tidak mempunyai sebarang niat tidak baik terhadap Aiman Athirah. Malah, jika saya berniat tidak baik pastilah saya tidak akan menyertakan sama video rakaman tersebut.

“Tetapi saya sedikit terkesan dengan posting Aiman Athirah pada hari raya pertama yang berbunyi ‘dosa tebuk atap adalah dosa kepada pengundi yang bagi mandat kepada PH tapi kau lari pi bentuk PN’ dan ‘dosa ini kekal sehingga mereka yang kau khianati itu maafkan kau’,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pakatan Harapan itu mendakwa Kamarul memuatnaik kandungan video yang diambil secara sebahagian dan mengelirukan.

Ulasannya yang disertakan juga dikatakan menyerang beliau terbuka secara tidak tepat dan tidak benar.

“Komen-komen di bawah status berkenaan sangat buruk dan jahat terhadap saya,” kata Aiman lagi.