Malaysia Dateline

Dakwa kuliah Subuh bising sangat, lelaki mengamuk rampas mikrofon surau dan menjerit pada penceramah

Gara-gara tidak tahan dengan kuliah Subuh yang dikatakan terlalu bising, seorang lelaki hilang kewarasan diri apabila dilaporkan mengamuk di sebuah surau di Ampang Campuran baru-baru ini.

Ketika kejadian, lelaki yang berusia 34 tahun yang mempunyai rekod jenayah mendakwa penceramah surau terlalu bising sehingga mengganggunya.

Lelaki tersebut kemudian bertindak meluru ke arah penceramah dan menarik mikrofon lalu menjerit marah.

“Ketika kuliah Subuh berlangsung, seorang lelaki tempatan yang tidak kenali terus menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah itu terlalu bising hingga mengganggunya.

“Jemaah surau juga bertindak menghalangnya dan meminta dia meninggalkan surau terbabit dengan cara baik,” kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. dalam satu kenyataan.

Gambar sekadar hiasan

Mohamad Farouk berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengerusi surau berkenaan.

Polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor di Jalan Ikan Emas Mesra, pada 7 petang semalam.

“Semakan dilakukan mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod bagi kesalahan dadah dan ugutan jenayah.

“Lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 12 Ogos nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana berniat melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956 atas kesalahan kelakuan aib,” katanya.

Beliau turut memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang perbuatan mengganggu yang boleh memecahkan keamanan masyarakat.

Baca juga: Banyak kali rider kena tipu bila ambil ‘order cash’, tapi kisah pelanggan ini berkeras guna tunai buat ramai buka mata

Baca juga: “Saya suka anak saya jadi rakyat Malaysia tapi…”, Dr Amalina perjelas kenapa pilih kerakyatan British untuk anak