Malaysia Dateline

Dakwa Mahathir perlekeh Anwar, Pejuang Muda bidas AMK tak perlu sentap, terasa

Naib Ketua Pejuang Muda Malaysia, Nik Fathurahman membidas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Thiban Subramaniam yang mempersoal tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan kerajaan melalui Mageran.

Nik berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah mencadangkan namanya untuk mengetuai Mageran, sebaliknya hanya menawarkan khidmatnya jika diperlukan seperti khidmat seorang Negarawan.

“Jika Yang di-Pertuan Agong memilih jalan Mageran, Bagindalah yang berhak menentukan siapa wajar mengetuainya.

“Sama ada orang tersebut adalah Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar mahupun sesiapa, Pejuang Muda akan menghormati serta menjunjung kasih apa pun keputusan bijaksana dari Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Thiban mendakwa cadangan Mahathir kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan kerajaan melalui Mageran, hanya menunjukkan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk kembali berkuasa dengan apa jua cara sekali pun.

Thiban juga berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu hanya mahu memperlekeh Anwar apabila mengatakan tiada penyelesaian dapat dicadang oleh Anwar biarpun setelah Anwar menelefonnya.

Mengulas kenyataan itu, Fathurahman berkata Thiban tidak perlu begitu sentap dan terasa kerana umum mengetahui solusi tunggal Anwar ketika ini hanyalah untuk membuka Parlimen.

Bahkan katanya, semua pihak boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi serangan peribadi adalah tidak perlu.

“Semasa Belanjawan 2021 lepas kita dapat lihat bagaimana solusi ini berakhir dengan hampa untuk pembangkang.

“Apa yang lebih merisaukan adalah khabar angin bahawa PH bersedia bekerjasama dengan pesalah rasuah dan penyangak atau kini lebih dikenali dengan ‘Kluster Mahkamah’. Demi prinsip dan maruah, Pejuang Muda berharap perkara tersebut tidak benar,” katanya lagi.