Malaysia Dateline

Dakwa situasi Covid-19 teruk: Rakyat Malaysia ‘serang’ ahli politik Taiwan

Gara-gara memfitnah Malaysia dalam menangani wabak koronavirus baharu (Covid-19), ahli politik Taiwan, Li Zheng Hao menerima ‘serangan’ bertali-arus daripada rakyat Malaysia.

Menariknya, kecaman di laman rasmi Facebook Zheng Hao itu termasuk daripada rakyat Malaysia berketurunan Cina.

Mereka menyangkal tuduhan Zheng Hao dalam satu temubual di saluran televisyen tempatan, 24 Mac lalu dan menuntut dia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Zheng Hao mendakwa kononnya polis Malaysia bertindak ganas dalam mengendalikan rakyat dengan memaparkan video babak latihan PDRM menangkap orang awam kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia juga menyiarkan sedutan video ratusan tong bekalan oksigen bersusun di sebuah hospital Indonesia kononnya hospital di Malaysia dalam keadaan yang teruk.

Zheng Hao turut berkongsikan video tular memaparkan kakitangan hospital di Kelantan menyiapkan pakaian perlindungan diri (PPE) daripada plastik sampah, ketika hal tersebut berlaku hanya sementara sahaja.

Tidak kurang teruknya dia dikecam warga maya dari Malaysia apabila mendakwa mangsa korban Covid-19 tidak boleh dibakar kerana Malaysia adalah negara Islam.

Malah, dakwanya, mayat mangsa wabak itu terpaksa ditanam sehingga waktu malam di tepi jalan kerana jumlah yang maut terlalu ramai.

Selepas menerima kecaman, dia kemudiannya membuat alasan tidak nampak batu kubur seperti lazim terdapat pada jirat Cina.

Reaksi balas Zheng Hao yang sama sekali tidak menyatakan permohonan maaf dilihat rakyat Malaysia sebagai hanya menegakkan benang yang basah.

Setakat ini, lebih 123,000 komentar rata-ratanya daripada rakyat Malaysia serta 10,000 perkongsian pada hantaran Zheng Hao itu hanya dalam tempoh 18 jam dimuatnaik.

Rentetan itu, laman Facebook Zheng Hao dibanjiri reaksi kecaman juga sindiran rakyat Malaysia pelbagai kaum termasuk antara lain menyelitkan jenaka “tentera bawang” dan “Makcik Kiah”.

Analogi “Makcik Kiah” digunakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai contoh dalam mengira jumlah manfaat yang rakyat peroleh ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kelmarin.

Antara deretan komen rakyat Malaysia berketurunan Cina yang mengecam Li Zheng Hao.