PAS memfailkan permohonan di mahkamah untuk membatalkan saman oleh Naib Ketua Amanah, Mujahid Yusof Rawa.
Peguam yang mewakili Mujahid, Noorazmir Zakaria berkata, PAS membuat permohonan itu tanpa mendengar merit pada perbicaraan penuh.
Menurutnya, selepas mengosongkan tarikh pendengaran hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Jun depan untuk mendengar permohonan.
Parti pembangkang itu mendakwa, Mujahid gagal mendedahkan sebarang sebab yang munasabah atas tindakannya menyaman PAS.
Terdahulu, Mujahid memfailkan saman fitnah pada 15 Disember tahun lalu melalui setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Hal ini berikutan kenyataan fitnah parti itu yang mendakwa Mujahid menyokong golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).
Tuduhan itu dimuat naik di laman Facebook pada 16 Oktober lalu yang merujuk ketika Mujahid bergelar menteri sewaktu pemerintahan Tun Dr Mahathir.
Menurut writ saman, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menuntut agar Takiyuddin atau PAS untuk membuat permohonan maaf.
Kenyataan (maaf) yang dibuat secara terbuka itu perlu disiarkan dalam akhbar harian Melayu dan Facebook PAS dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.
Baca juga: Dah tak perlu beratur di Bank, wanita tawar khidmat tukar duit raya jadi tular