Malaysia Dateline

Dakwa yang kata PM tiada majoriti: Peguam Negara perlu nyatakan pendirian

Peguam Negara perlu menyatakan pendiriannya sama ada beliau akan mendakwa sesiapa yang mengatakan “darurat diisytiharkan kerana Muhyiddin telah hilang majoriti di Parlimen”.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini perlu dinyatakan selepas ia dinyatakan oleh Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.

Menurut Takiyuddin, menjadi satu kesalahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 untuk sesiapa mendakwa yang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pengisytiharan darurat kerana beliau telah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Pesalah berkenaan bakal berhadapan dengan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, kata ahli Parlimen dari Pas itu.

“Adakah perkara ini undang-undang dalam negara sedangkan perkara ini masih perlu diputuskan oleh mahkamah dan bukannya diputuskan oleh Menteri Undang-undang,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Apa-apa pun, katanya, dengan kenyataan Menteri Undang-undang ini, Peguam Negara perlu memberikan penjelasan mengenai pendirian beliau.

Sama ada beliau akan membawa pendakwaan kepada sesiapa di bawah Ordinan Darurat kerana menuduh pengisytiharan darurat didapatkan kerana Muhyiddin telah hilang majoriti di Parlimen, katanya.

“Saya telah bertanya, sama ada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 telah dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan.

“dan mengapakah Kabinet tidak mencadangkan supaya pindaan dibuat sebelum Ordinan ini diwartakan, dan perlu untuk ada tempoh maklum balas awam dari pihak dan individu yang berminat.

“Jawapan kepada persoalan-persoalan ini dinantikan,” kata beliau yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen sejak puluhan tahun lalu itu