Dakwa zakat sengaja tarik bantuan, rupanya asnaf suka buat perangai, 7 kali dihalau tuan rumah

Oleh KIM SYAZIE

Baru-baru ini tular sebuah video seorang asnaf yang mendakwa dia terpaksa bermalam di bawah jambatan disebabkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghentikan bantuan untuknya.

LZS berdepan tohmahan dari pengguna media sosial yang mempersoal kewajaran tindakan agensi itu, selepas ada individu berkongsi kisah asnaf dikenali sebagai Kasturi Cik Din yang mendakwa dia tiada tempat untuk berteduh.

LZS menerusi penjelasan di TikTok memberitahu bahawa lelaki asnaf itu sebenarnya telah menerima bantuan dari zakat sejak 2015 lagi.

Namun pihak zakat menerima banyak aduan dari masyarakat sekitar yang memohon agar asnaf itu dipindahkan atas sebab tidak selesa.

Namun difahamkan dari penjelasan itu, pihak zakat telah tujuh kali menyewakan rumah kepada asnaf itu namun sering dihalau pihak tuan rumah yang kurang senang apabila berlaku kerosakan terhadap kediaman mereka.

“Abang Kasturi Cik Din, kami terus menyalurkan bantuan tanpa menghentikan sebarang jenis bantuan kecuali berkaitan dengan sewa rumah.

“Dia dihalau dari rumah sewa yang sebelum ini dibayar oleh pihak lain, kami tak pasti apa berlaku.

“Apabila kami tahu dia tinggal bawah jambatan, kami usahakan untuk dapatkan sebuah rumah untuknya hasil kerjasama seorang pembayar zakat di LZS, dia diberi rumah dua tingkat dan bagi kami cukup mewah.

“Namun setelah beberapa bulan, pihak komuniti dan masyarakat sekitar mengadu bahawa berlaku ketidakselesaan membabitkan Abang Kasturi. Mereka mohon kerjasama kami pindahkan dia ke tempat lain,” katanya menerusi TikTok @ZakatSelangor.

Kata wakil zakat itu, mereka berdepan kesukaran mencari rumah sewa yang lain untuk asnaf terbabit kerana ramai tidak mahu menyewakan untuk dia.

“Ketika mana mereka mengetahui namanya adalah abang Kasturi, berlaku sedikit kesulitan dan kesukaran. Tidak ada pihak yang ingin memberikan kerjasama sehingga hari ini untuk kami meneruskan bantuan sewa rumah kepada abang Kasturi,” katanya.

“Kami terus berusaha mencari rumah kepada abang Kasturi. Dari satu rumah, ke dua rumah, lebih tujuh rumah kami cuba berbincang dengan pihak pemilik dan sehingga kini belum ada yang mahu beri kerjasama selepas mereka tahu penyewanya Abang Kasturi.

“Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, kami tidak pernah menamatkan bantuannya kecuali bantuan sewa rumah yang diminta dikeluarkan oleh tuan rumah sendiri. Kami di LZS terus menyantuni Abang Kasturi dengan sebaiknya,” jelasnya lagi.

Baca juga: Warga Singapura berang ditegur isi minyak RON95, netizen gesa kerajaan ambil tindakan