Malaysia Dateline

Dakwaaan dapat ‘restu’ Agong percubaan jelek dapatkan habuan

PKR menyelar beberapa Ahli Parlimen yang kononnya mendapat ‘restu’ Yang di-Pertuan Agong untuk memegang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mereka yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti itu sedang berusaha mendapatkan Perakuan Berkanun (Statutory Declaration) bagi meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen untuk tujuan tersebut.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan, kami percaya bahawa dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali.

“Ini merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menegaskan PKR mengambil pendirian nama Yang di-Pertuan Agong tidak patut diguna sebagai helah untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen.

Apatah lagi, katanya, apabila sokongan tersebut tidak menyelesaikan persoalan besar tentang hala tuju kepimpinan negara pada masa ini.

“Tindakan terdesak kelompok ini wajar ditolak oleh rakyat.

“Tumpuan sekarang harus ke arah memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19,” tambah Fahmi lagi.

Terdahulu, nama Ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disebut-sebut antara Ahli Parlimen yang kononnya mendapat ‘restu’ Yang di-Pertuan Agong untuk memegang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Menteri Luar itu juga disebut-sebut sebagai calon jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dikatakan, bahawa Hishammuddin bakal mengambil alih sebagai Perdana Menteri kesembilan negara selepas Muhyiddin berundur pada bulan-bulan mendatang.

Dalam masa sama, difahamkan Ahli Parlimen Umno belum bersedia menerima Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dijadualkan esok, giliran wakil pemimpin Umno menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Hari ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan diakhiri Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selesai menghadap Seri Paduka.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mendahului senarai menghadap Agong diikuti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.