Dakwaan Akta Antiberita Palsu makan tuan benar, dakwa ahli Umno

Dakwaan Akta Antiberita Palsu makan tuan benar, dakwa ahli Umno

Zaharin Mohd Yasin

Ahli Umno yang merupakan bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin berkata, dakwaan pembangkang bahawa Akta Antiberita Palsu akan makan tuan adalah benar.

Beliau berkata demikian mengulas kesahihan berita mengenai seorang Ketua Umno Bahagian yang ditahan polis berhubung penggunaan dadah di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ketua Umno Bahagian saya Datuk Rizalman Mokhtar telah ditahan polis pada jam 4.00 pagi pada April 2, 2018. Bersama beliau sembilan orang lagi di Pusat Hiburan Las Vegas di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

“Kemudian beliau telah ditahan di IPD Dang Wangi bagi ujian air kencing dan didapati positif narkotik tertentu dalam air kencingnya.

“Bagaimanapun Polis dari D7 IPD Dang Wangi dan juga SPRM tidak menjumpai sebarang dadah daripada sembilan orang dalam bilik karoeke tersebut yang boleh menjadi bahan bukti bahawa Ketua Umno Bahagian saya adalah penagih dadah?

“Maka tidaklah diketahui sesiapa yang mencampuri dadah dalam minuman dan pihak polis tidak menyebut bahawa contuh air minuman yang berada dalam bilik itu telah dirampas bagi tujuan barang bukti.

“Kepada saya sendiri, saya menyedari bahawa Ketua Umno Bahagian saya memakan ubat secara berterusan penyakit yang beliau hadapi dimana pernah beliau dimasukan ke Hospital kerana penyakit itu,” tulis beliau dalam Facebooknya semalam.

Kata Zaharin, biarlah polis menjalankan siasatan dahulu yang contoh air kencing perlu di uji dahulu oleh pihak lain seperti Hospital. Pendedahan yang air kencingnya ada dadah hanya berdasarkan ukuran alat pengukur dan bukannya hasil ujian makmal.

Bagaimanapun kata beliau, serangan yang biadab dan kurang ajar bukan datang dari parti pembangkang tetapi dari pasukan siber Umno sendiri yang selalu beliau panggil K9 ia itu anjing suruhan.

“Saya tidak tahu dalam keadaan begini kenapa anjing K9 membuat serangan dan ada yang membabitkan saya.

“Walhal bukan lagi rahsia, bahawa antara yang menyelesaikan isu ini ialah seorang wakil PMO bergelar Datuk Seri yang didatangkan ke IPD Dang Wangi, sehingga Ketua Umno Bahagian saya telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Tetapi terdapat Siber K9 menulis mengatakan Ketua Umno Bahagian saya telah ditahan reman. Benarlah kata pembangkang RUU Berita Tidak Benar ini akan memakan tuan,” kata beliau.

9.3
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 9.5