Malaysia Dateline

Dakwaan beli sistem dari Israel: Najib salahkan orang lain, bersumpah tunjuk alim

Pemerhati politik, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar menyifatkan Datuk Seri Najib Razak seperti kelaziman menyalahkan orang lain berhubung dakwaan pembelian sistem dari Israel menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, reaksi Najib yang juga bekas Pengerusi BN itu sama ketika dihadapkan dengan tuduhan berkaitan pelbagai kes penyelewengan dan salah guna kuasa sebelum ini.

“Seperti biasa Najib menyalahkan orang lain seolah-olah tangan dan jiwanya bersih seperti juga isu 1MDB , SRC dan lain-lain kesalahan.

“Tidak hairan juga jika beliau (Najib) sekali lagi bersumpah di mana-mana masjid seperti kes pembunuhan Altantuya,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 28 Mei lalu, laporan eksklusif Calcalistech.com menyebut kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah membelanjakan AS$1.5 juta (RM6.5 juta) bagi membolehkan pasukan penyelidikan negara ini menggunakan sistem intipan dan analisis Israel.

Dedah laman web itu, sistem yang telah digunakan oleh Cawangan Khas (SB) itu untuk membolehkan semua maklumat aktiviti orang awam dikumpul dan dianalisa sebulan sebelum PRU-14 pada Mei 2018.

“Syarikat yang membangun dan membekalkan sistem itu kepada kerajaan Malaysia adalah Senpai Technologies Ltd, sebuah syarikat kecil cybersecurity Israel,” lapor laman web Israel yang mendakwa melihat dokumen mahkamah tersebut.

Mengulas lanjut, Tamrin mengimbas kembali tindakan kerajaan Umno-BN melantik APCO iaitu sebuah syarikat yang berkaitan rapat dengan organisasi pengintipan Israel dengan bayaran RM75 juta bagi membantu BN memenangi PRU-14.

“Walaupun pada mulanya kerajaan ketika itu menafikannya, namun atas desakan demi desakan akhirnya seorang menteri tampil membuat pengakuan dalam sidang Parlimen,” katanya.

Tamrin yang juga anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba turut menyelar taktik beribadat di Mekah bagi mengelabui perbuatan kotor yang telah dilakukan.

“Selain dari bersumpah biasanya mereka akan ke Mekah bagi menunjukkan kononnya betapa alim mereka ini, dan orang alim takkan nak buat kerja-kerja kotor begitu – Kalau tak merompak bukan Umno namanya!” tegas Tamrin.

Sehubungan itu, beliau berpendapat golongan ‘pemakan dedak’ yang sentiasa kelaparan akan terus percaya kepada Najib cukup dengan bersumpah.

“Selepas kenyang seperti ular sawa, mereka tidak perlu sama ada telah ditipu, negara dan maruah mereka tergadai.

“Seolah-olah terlebih minum air ketum atau mabuk dadah, yang mereka diajar dan tahu hanya beberapa perkataan sahaja ‘Malu Apa BossKu’, Hidup Melayu dan Takbir , Allahuakhbar’.

“Kata-kata Najib ada kebenarannya cash is king,” bidas Tamrin lagi.