Dakwaan Bernama tidak carum KWSP disiasat

Dakwaan Bernama tidak carum KWSP disiasat

Kementerian Kewangan sudah diarah untuk memulakan siasatan berhubung dakwaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak dapat membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana potongan KWSP digunakan untuk membayar gaji bulan Julai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan siasatan itu bagi menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius itu dan menyekat bayaran sumbangan KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada wang yang harus diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan sumbangan KWSP telah “dialihkan” oleh Bernama untuk tujuan pembayaran lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan memandang serius dakwaan itu, memandangkan fakta berhubung isu berkenaan menunjukkan sebaliknya.

“Sekiranya gaji bulan Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Kewangan, mengapa pula Kementerian Kewangan hanya menerima surat permohonan bertarikh 19 Julai 2019 yang diterima pada 22 Julai?” katanya.

Menurut laporan portal semalam, agensi berita nasional itu didakwa menghadapi kekangan kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman walaupun potongan gaji telah dilakukan.

Lim berkata dakwaan kerajaan menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak dapat membuat bayaran KWSP adalah tidak berasas kerana Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan pembayaran gaji termasuk sumbangan KWSP.

Beliau menjelaskan emolumen dan gaji sentiasa akan diberikan peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar terdahulu berbanding dengan bayaran lain.

Lim menegaskan Kerajaan Persekutuan bukanlah kerajaan yang bankrap seperti Kerajaan Negeri tertentu yang tidak mampu bayar gaji anggota pentadbiran mereka.

“Laporan sedemikian yang membelakangkan fakta sememangnya telah memburukkan imej Kementerian Kewangan yang sering dipersalahkan apabila Kementerian atau agensi melebihi perbelanjaan bajet dan cuba mencari alasan selain daripada kegagalan mereka sendiri menguruskan kewangan dengan baik,” katanya.

— BERNAMA