Malaysia Dateline

Dakwaan bubar DUN, ini agenda sebenar MB Johor

Ura-ura pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijangkakan pada 15 Januari nanti adalah sebagai tanda aras kesabaran Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad dalam melayani karenah tidak sebulu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui Johor ketika ini.

Apa lagi yang Hasni mahukan sampai nak bubar DUN. Bukannya mereka sudah hilang majoriti malah mereka masih mempunyai majoriti walaupun satu kerusi. Kalau ada pun penentang kuat Hasni pun sebelum ini adalah arwah Osman Sapian iaitu ADUN Kempas.

Dalam Bersatu ketika ini yang tinggal hanya pentaksub ringgit yang boleh dipegang tengkuknya dan kalau ada ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang itu pun sudah dikhabarkan menjadi jinak. Nak harapkan ADUN tunggal Pas, memang lagi menghampakan dan pastinya tidak akan berpaling menyokong Pakatan Harapan (PH).

Jadi apa lagi yang Hasni mahukan? Inilah yang dikatakan dendam untuk melumatkan PN dan memerintah secara ‘total’ dalam membentuk kerajaan di Johor. Mungkin Hasni mula seronok melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak yang menjadi indikatornya untuk mencapai matlamat memerintah secara ‘total’.

Walau siapa pun yang menang, sudah pastinya rakyat yang akan dikorbankan dan ianya jelas rakyat tidak dapat apa-apa pun malah selepas PRN Melaka dan Sarawak, Umno-BN dilihat lebih bertaring dengan mendera rakyat dengan kenaikan harga barang serta menyingkir suara rakyat.

Cukuplah rakyat sudah mulai mengeluh dan jika dilihat dalam ‘Twitter’ tanda pagar ‘#KerajaanPembunuh’ menjadi tular sebelum ini yang menuding ke arah kerajaan yang dibayangkan sebagai punca kematian beramai-ramai rakyat dalam negara ini.

Hasni memang tidak mahu memfokuskan tentang permasalahan rakyat dan dia hanya mahukan kuasa mutlak tanpa ada campur tangan dari mana-mana pihak seperti Bersatu dan Pas yang dilihat seperti langau menghurung sampah.

Apa faedah sekiranya PRN Johor diadakan untuk rakyat? Menjadi perkara utama adalah pembinaan semula negeri yang sudah semakin rosak sehinggakan Johor menjadi negeri nombor satu dalam rekod penjualan rumah yang tidak laku.

Sedang suatu ketika dahulu, Kelantan pernah mengalami krisis yang membezakan hanya satu majoriti iaitu pada tahun 2004 dengan kedudukan kerusi 23 kerajaan dan 22 pembangkang. Ia boleh sahaja beroperasi dengan baik sehingga PRU 2008 dan tiada alasan untuk membubarkan DUN.

Selain itu Hasni perlu juga fokuskan ekonomi rakyat bukan hanya meratib mahukan kuasa. Dia juga kena sedar bahawa pentadbirannya sekarang ini hasil daripada rampasan kuasa yang dilakukan pada Mac 2020 yang lalu.

Kalau Hasni bermaruah, sudah pastinya sewaktu Din Pagoh mengkhianati PH sebelum ini beliau mengambil langkah untuk tidak bersama serta berusaha membuat yang terbaik walaupun dalam keadaan menjadi ketua pembangkang.