Dakwaan calon BN harga barang naik bukan salah BN, dibidas

Mohd Taufek semasa turun padang bersama calon PH kelmarin.

Mohd Taufek Abd Rahman

Dakwaan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad pada Majlis Helang Hebatkan Langkawi anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Pantai Chenang bahawa harga barang telah naik sejak zaman Jepun lagi dan bukan salah BN adalah tidak tepat dan membohongi rakyat.

Sebaliknya dakwaan tersebut hanyalah untuk melepaskan diri dan menyelamatkan BN setelah menyedari rakyat semakin terbeban dengan kelemahan kepimpinan mereka.

Takut akan hilangnya kerusi Parlimen Langkawi kepada Tun Mahathir yang mewakili Pakatan Harapan (PH), maka rakyat dipersalahkan pula.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Mohd Taufek Abd Rahman ketika ditemui semasa kempen bersama calon PH Parlimen Kepala Batas.

‘Cukai GST yang dikenakan turut mempengaruhi kenaikan kos barangan sehingga membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Pemotongan subsidi kerajaan sehinggakan rakyat terpaksa menanggung beban yang berat tidak menjadi perkiraan BN.

“Begitu juga dengan kejatuhan nilai mata wang negara turut mempengaruhi kemelaratan rakyat tatkala ini,” ujarnya.

Oleh kerana itu katanya, sewajarnya pimpinan BN mengakui kelemahan mereka dan tidak menuding jari kepada orang lain.

Malah tegasnya lagi, akibat polisi sedia adalah menyebabkan rakyat terpaksa hidup dalam kesukaran dengan kos sara hidup yang amat tinggi.

“Akibat kos yang semakin meningkat, rakyat yang miskin bertambah miskin.

“Kerajaan BN tetap mengenakan pelbagai dasar yang menekan rakyat walaupun menyedari ia tidak membantu golongan marhaen.

“Janji mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan yang luas tidak terlaksana walaupun lepasan universiti begitu ramai tidak mendapat pekerjaan,” jelasnya.

Mohd Taufek ketika menyantuni pengundi di Tasek Gelugor kelmarin.

Sehubungan itu katanya, rakyat mesti sedar dan berani untuk menolak BN dalam pilihan raya umum kali ini.

“Sama ada ‘by hook or by crook’ BN tidak boleh dibiarkan menerajui kepimpinan sama ada di peringkat negeri mahu pun pusat.

“Membiarkan mereka terus berkuasa akan menyukarkan hidup rakyat di mana yang kaya akan semakin kaya, yang miskin bertambah melarat.

“Bagi tempoh lima tahun yang akan datang, rakyat mesti bertekad menolak Umno dan BN serta Pas dengan memberi peluang kepada PH untuk membuktikan pembaharuan boleh dilaksanakan selepas 9 Mei nanti,” tambahnya.