Dakwaan DAP hanya ingin kuasa tidak benar, Lim Kit Siang bidas MCA

Dakwaan DAP hanya ingin kuasa tidak benar, Lim Kit Siang bidas MCA

Penasihat DAP, Lim Kit Siang membidas pemimpin-pemimpin MCA yang menuduh DAP sebagai ‘lebih berminat untuk berkuasa’.

Kata Lim Kit Siang, beliau enggan dilantik untuk berada dalam Kabinet.

“Adakah mana-mana pemimpin MCA menolak daripada dilantik sebagai Menteri Kabinet?” tulis beliau dalam blognya hari ini.

Ujar beliau, mitos ini dicipta oleh pemimpin MCA yang beranggapan bahawa Menteri-Menteri DAP dan pemimpin-pemimpinnya dalam kerajaan hanya mampu mengulangi apa yang dilakukan oleh bekas pemimpin-pemimpin MCA dalam kerajaan dan Kabinet.

Mereka itu jelas beliau, sanggup mengorbankan prinsip dan wasasan mereka terhadap Malaysia yang lebih bersatu, adil dan bebas demi mendapat jawatan.

“Saya telah menjelaskan bahawa saya lebih banyak berdiam diri setahun kebelakang ini disebabkan fitnah besar yang diwujudkan oleh Umno-Pas bahawa saya adalah “puppet master” kepada Tun Mahathir Mohamad dan Menteri-Menteri Kabinet semuanya berada di bawah percaturan saya.

Mengapakah pemimpin-pemimpin MCA membenarkan fitnah besar besar ini dengan memberikan sokongan kepada kerjasama Umno-Pas, soal Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Jelasnya lagi, terdapat mereka yang menukar dasar dan prinsip apabila mereka mendapat kuasa dan berada lam kerajaan, tetapi bukan DAP.

“Kami bukan lagi pembangkang tetapi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan, justeru tidak dapat dielakkan, cara bekerja kami telah berbeza tetapi prinsip, idealisme dan wawasan kami mengenai Malaysia Baharu masih kekal,” kata beliau.