Dakwaan ‘facebooker’: Sofi gesa mohon maaf atau berdepan tindakan mahkamah

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka Sofi Wahab menggesa pihak yang membuat dakwaan, mengaitkan dirinya dengan calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Salahuddin Ab Talib sebagai pemecah undi Melayu segera memohon maaf atau berdepan dengan tindakan mahkamah.

Beliau berkata, walaupun Salahuddin mempunyai pertalian saudara namun tindakan pihak tertentu mengaitkan nama beliau sangat dikesali.

“Saya sangat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mengaitkan saya dengan calon Bebas Pilihanraya Kecil P078 Parlimen Cameron Highland Cikgu Haji Sallehuddin Ab Talib.

“Cikgu Sallehuddin memang sepupu saya yang rapat. Mengapa pula babitkan saya dengan beliau. Pertalian darah dan ukhuwwah saya dengan beliau tidak akan mampu diputuskan.

“Sebagai ahli politik saya tetap menghormati keputusan beliau. Yang pasti beliau jauh lebih baik berbanding calon BN. Beliau tidak bersekongkol dengan rekod buruk BN sepanjang 60 tahun memerintah Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Adun Durian Tunggal ini juga kesal kerana dirinya, dituduh sebagai pemecah undi orang Melayu.

Katanya tuduhan sedemikian, jelas sekali merendah-rendahkan martabat orang Melayu di Cameron Highlands.

“Bagi saya orang kampung saya di Dun Jelai sudah matang untuk memilih calon yang mereka percaya dan sukai. Tidak timbul isu pecah undi kerana demokrasi membenarkan sesiapa pun bertanding.

“Saya yang dilahir dan dibesarkan di Kampung Lubok Kulit dalam Dun Jelai berasa terhina dengan tuduhan ini seolah-olah kami ini tidak matang dan tidak tahu memilih calon yang kami sukai.

“Saya yakin saudara-mara yang ramai di Kampung Lubok Kulit, Beletik, Sungai Koyan, Keledik dan seluruh Dun Jelai turut terhina dengan tuduhan tidak berasas ini.

“Pertalian persaudaraan kami adalah kukuh dan padu. Hubungan kami tetap erat dan ukhuwwah kami tetap unggul.

“Saya menggesa pihak terbabit memohon maaf di atas tuduhan ini atau mungkin berhadapan dengan tindakan mahkamah,” tegasnya.

Dalam paparan dimuatnaik oleh seorang pemilik facebook semalam dengan gambar yang ditulis sebagai ‘Pemecah Undi Melayu untuk menangkan DAP’ telah memaparkan wajah Sofi dan Salahuddin mendapat komen balas dikalangan netizen apabila terdapat kenyataan pemilik akaun tersebut yang tidak sewajarnya ditulis¬† dalam komen balasnya kepada netizen.