Malaysia Dateline

Dakwaan Hamzah, Anwar cuba menghasut tidak berasas

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pengisytiharan darurat agar sidang Parlimen dapat dilakukan, sama sekali tidak mencabar kuasa Agong mahupun mengancam keselamatan negara.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan, pembukaan kertas siasatan yang mendakwa Anwar cuba menghasut adalah tidak berasas kerana tiada elemen hasutan atau desakan seperti yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin.

Bahkan menurutnya, tiada apa-apa kenyataan dari Anwar yang boleh diambil sebagai mencetus ketakutan atau kebimbangan kepada awam dan menghasut serta mengancam ketenteraman awam di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“(Warkah tersebut) jelas tidak mencabar, mengancam keselamatan (negara) apatah lagi mendesak. Sebaliknya ia datang daripada rasa tanggungjawab seorang wakil rakyat yang bersesuaian dengan sumpah menjunjung dan berpegang teguh kepada perlembagaan, melaksanakan tugas dengan penuh setia.

“Malah, sesiapa pun rakyat biasa atau badan bukan kerajaan boleh merayu kepada Agong untuk memohon ihsan baginda memperbaiki keadaan negara.

“Ini termasuklah mengemukakan teguran dan bantahan terhadap kerajaan yang gagal. Apakah ini bercanggah dengan mana-mana undang-undang?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, kertas siasatan yang dibuka menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sekarang telah gagal, hilang majoriti dan tertekan sehingga terpaksa menggunapakai saluran undang-undang dan ugutan untuk menekan apa juga bantahan.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya wujud arahan dan campur tangan politik dalam siasatan tersebut.

“Jika benar, maka malang bagi negara yang sewajarnya menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan
undang-undang.

“Pihak polis mestilah melaksanakan tugasnya dengan profesional dan menegakkan undang-undang tanpa gentar, terpilih atau tertekan,” katanya lagi.