Malaysia Dateline

Dakwaan isytihar harta cubaan propaganda suntik kebencian Melayu-Islam

Kenyataan pimpinan tertinggi Pas bahawa Islam melarang pemimpin-pemimpin mengisytiharkan harta berdasarkan sebuah hadis dan lebih mengejutkan kenyataan isytihar harta tersebut secara umumnya teori komunis dan sosialis yang mungkin dibayangi DAP amat mengejutkan kata Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria,.

Beliau berkata, lebih mengejutkan tanpa disedari sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, mereka juga mencabar Perdana Menteri dan isterinya supaya mengisytiharkan harta mereka, namun begitu ia menjadi sebaliknya kini.

Menurutnya lagi, sewaktu Pas memerintah Terengganu(1999-2004) Menteri Besar (MB) menyebut semua exco kerajaan wajib mengisytiharkan harta kepada rakyat dan bukannya kepada MB.

“Begitu juga pada tahun 2012, dalam satu program parti, pemimpin tertinggi Pas menyebut bahawa mereka adalah yang pertama menyokong cadangan pemuda supaya pemimpin-pemimpin mengisytiharkan harta.

“Sehubungan itu kita amat optimis pimpinan tertinggi Pas tersebut faham keperluan mengisytiharkan harta di zaman amalan kronisma dan kleptokrasi yang begitu berakar umbi dan berleluasa pada zaman pemerintahan yang lalu, agar ianya tidak berulang pada masa yang
akan datang.

“Namun begitu kini, ia menjadi sebaliknya apabila mereka pula mendakwa mengisytiharkan harta itu umumnya teori sosialis-komunis dan dikaitkan pula atau dibayangi DAP yang mempengaruhi kerajaan, ” jelasnya.

Malah kata Dr Zaidi lagi, tindakan pimpinan tertinggi Pas tersebut merupakan satu propaganda terancang yang cuba menyuntik kebencian dikalangan Melayu-Islam terhadap DAP.

Tegasnya, apabila dikaitkan dengan komunis ia akan mudah menyemarakkan semangat kebencian golongan muda Melayu-Muslim terhadap DAP khususnya serta Pakatan Harapan (PH) umumnya.

“Ini adalah strategi ‘kill two birds with one stone ‘ Pas kepada DAP dan juga PH.

“Tidak dapat dinafikan kemungkinan tindakan ini untuk Pas menutup segala kemungkaran mereka menerima duit Umno sepertimana yang didakwa oleh Nik Abduh, mungkin duit tersebut telah ditukarkan kepada harta.

“Walau apa jua alasannya, tindakan Pas tidak bersetuju mengisytiharkan harta jelas memperlihatkan hipokrasi Pas yang terdesak ingin bersama dengan Umno, ” tambah beliau lagi.

Ujarnya apa yang dipamirkan oleh Pas tatkala ini seolah-olah mahu mempertahankan pemimpin-pemimpin Umno yang diketahui umum kaya raya dan ‘super-duper’ semasa berkuasa dahulu.