Malaysia Dateline

Dakwaan Jakim padam fatwa Amanat Hadi: Rakyat berhak diberi penjelasan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa menjelaskan dakwaan memadam fatwa “Amanat Haji Hadi” dalam laman sesawangnya seperti yang tular di Twitter baru-baru ini.

Adun Paloh, Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali berkata Majlis Fatwa Kebangsaan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sepatutnya turut memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

“Saya mengharapkan penjelasan yang sewajarnya diberikan segera. Perkara ini juga penting khususnya setelah Pas mengambil sikap yang berbeza berbanding dahulu menerusi kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada masa ini.

“Rakyat berhak diberi penjelasan. Bahkan ahli-ahli Pas, bekas-bekas ahli serta mereka yang pernah menerima tarbiyah Pas juga seharusnya mendapat penjelasan berkaitan duduk letaknya perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Amanat Hadi Beliau berkata demikian merujuk berita sebuah portal berita yang melaporkan bahawa Jakim sedang menyiasat dakwaan pihaknya memadam fatwa berkaitan “Amanat Haji Hadi” di laman sesawangnya.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata sebagai mantan ahli pemuda Pas yang pernah didoktrin dengan “Amanat Hadi”, perkara seumpama ini membuatkan beliau tertunggu-tunggu ulasan rasmi dari Jakim.

“Berdasarkan pengalaman peribadi, Amanat Hadi telah memberi kesan besar khususnya dalam arena dakwah serta siyasah tanah air.

“Sebagai orang muda dalam Pas lebih 10 tahun dahulu, kami memahami bagaimana fenomena sembahyang 2 imam, tidak makan haiwan sembelihan mereka yang bersetuju dengan pemimpin Umno, memperbaharui semula akad pernikahan dan sebagainya,” katanya.

Malah, kata Naib Pengerusi DAP Johor itu, Amanat Hadi turut memberi impak terhadap budaya takfiri dikalangan masyarakat di negara ini.

Untuk rekod, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary merupakan Exco Dewan Pemuda Pas Kelantan.