Malaysia Dateline

Dakwaan keluar parti khabar angin, Warisan kukuh di Sabah, kata Liew

Laporan media yang mendakwa terdapat Ahli Parlimen Warisan yang akan keluar parti adalah khabar angin semata-mata dan menyifatkan kesemua berita tersebut adalah palsu.

Menurut Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong, kesemua Ahli Parlimen Warisan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah terutamanya ketika berhadapan dengan pasca-Covid-19 ini.

“Kita kekal fokus kepada isu-isu penting dengan membantu kawasan Parlimen masing-masing, hal ehwal negeri dan negara, walaupun tak banyak yang boleh dilakukan tanpa sidang Parlimen,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya semalam.

Untuk itu, Liew menganggap khabar angin lompat parti itu hanyalah percubaan Perikatan Nasonal untuk memecah belahkan pembangkang.

“PN sudah terdesak untuk mengekalkan majoriti tipis di Parlimen sebelum sesi Julai berlangsung, dengan usul undi tidak percaya menanti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini menyebabkan berlakunya gerakan ‘membeli’ Ahli Parlimen. Tetapi kita bukan begitu. Kita tidak akan mengkhianati mandat rakyat. Kita kekal teguh dengan prinsip parti,” jelas bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu lagi.