Malaysia Dateline

Dakwaan Kerajaan UG jalan terbaik adalah zalim, tidak adil

Mencipta keadaan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan atau ‘unity government’ (UG) adalah suatu tindakan zalim dan tidak adil sama sekali.

Demikian dizahirkan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Katanya, apabila Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai majoriti mudah dan gabungan lain juga tidak mempunyai majoriti yang sama, adalah suatu kezaliman dan tidak adil sekiranya Perdana Menteri Interim mengatakan kerajaan perpaduan atau UG adalah jalan terbaik bagi mengatasinya.

“Apabila kita menyertai pilihan raya umum (PRU), kita membentuk gabungan parti-parti untuk mendapatkan sekurang-kurangnya majoriti mudah maupun dua pertiga sokongan Parlimen.

“PH dibentuk dengan empat parti utama termasuk Warisan, ia itu suatu gabungan yang rapuh kerana keeanggotaannya kecil.

“Apabila keanggotaannya kecil, mana-mana parti menarik diri, ia memberi impak besar kepada kedudukan kerusi di Parlimen dan memberi kesan kepada gabungan, ” tegasnya.

Malah katanya, PH mempunyai majoriti mudah yang selesa dalam PRU ke 14 yang merupakan mandat dari rakyat.

“Majoriti mudah yang selesa ini tidak tergugat sekiranya dua atau tiga ahli parlimennya menarik diri.

“Namun begitu seandainya apabila sebuah parti menarik diri dengan membawa lebih 30 kerusi, sudah tentu gabungan ini tumbang atau hilang majoriti mudah di Parlimen.

“Setelah PH tidak mempunyai majoriti mudah dan gabungan lain juga tidak memperolehi majoriti mudah, adalah suatu tindakan yang zalim dan tidak adil bagi Perdana Menteri Interim mendakwa bahawa UG cara terbaik kerana kehilangan mandat majoriti mudah tersebut juga hasil tindakan beliau, ” ujarnya.

Tambahnya , tindakan ini secara terang-terangan suatu pengkhianatan kepada mandat rakyat yang sengaja diciptakan bahkan tidak demokratik, tidak berperlembagaan atau ‘unconstitutional’.

“Sementelah PH melayan Perdana Menteri sebagai negarawan ulung, senantiasa menyokong penuh keputusannya, sangat setiakawan dan langsung tiada elemen khianat, cuma meminta diadakan peralihan kuasa selepas APEC November 2020.

“Permintaan tersebut jika dilihat dengan waras dan tenang, adalah munasabah dan kena pada masanya, sedangkan tindakan Perdana Menteri pula seolah-olah tidak mempercayai sesiapa kecuali dirinya sendiri.

“Harus disedari setiap generasi mempunyai pemimpinnya dan pemimpin ulung mungkin datang selepas beberapa generasi, ” katanya.

Oleh itu kata Dr Zaidi lagi, seandainya amalan terus menafikan pemimpin generasi yang ada, ianya boleh memudaratkan masa depan.