Dakwaan kerjasama Pas-Umno tawan Selangor konspirasi antarabangsa, kata Iskandar

Dakwaan kerjasama Pas-Umno tawan Selangor konspirasi antarabangsa, kata Iskandar

Naib Presiden Pas Datuk Iskandar A. Samad menyifatkan laporan media bahawa Pas akan bekerjasama dengan Umno untuk menawan Selangor sebagai usaha untuk memburukkan imej parti Islam itu.

Beliau berkata, laporan itu adalah semata-mata spekulasi tanpa sebarang bukti kukuh.

“Ia kemungkinan satu konspirasi antarabangsa untuk menyerang Pas dari dalam dan luar negara seperti mana dakwaan Sarawak Report yang telah dibawa ke mahkamah oleh Pas.

“Adalah mustahil Pas akan bekerjasama dengan Umno yang sarat dengan pelbagai masalah dan telah ditolak oleh rakyat Selangor sebanyak 2 kali (2008 dan 2013),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar Straits Times Singapura bahawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak “berhubung hampir setiap hari sejak beberapa bulan” mengenai rancangan kerjasama Pas-Umno untuk merampas negeri Selangor.

Turut dilaporkan dakwaan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar yang ingin diangkat melalui kerjasama Pas-Umno dan turut dilihat mengunjungi pejabat perdana menteri beberapa kali.

Malah Najib didakwa kerap bercakap dengan Abdul Hadi memalui telefon semasa beliau menjalani rawatan pada Mei lalu.

Termasuklah satu dari perancangan adalah supaya Pas bertanding 42 kerusi untuk memastikan undi Melayu kepada Pakatan Harapan berkurangan.

Menafikan perkara itu, Iskandar yang juga exco Kerajaan Selangor berkata, sokongan rakyat Selangor adalah padu bersama kerajaan negeri hari ini.

{loadposition myposition}

Beliau berkata, menurut satu kajian sebuah badan bebas, kurang dari 10 peratus rakyat Selangor yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

“Sentimen akar umbi menunjukkan para pengundi akan memberi sokongan kepada parti-parti yang dilihat mewakili kerajaan negeri yang sedia ada. Umno bukan di antara parti-parti tersebut,” katanya.

Adun Cempaka itu turut berkata, beliau tidak percaya akan berlaku perpecahan undi jika berlaku pertandingan tiga penjuru seperti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Besar.

“PRK tidak akan mengubah kerajaan tetapi pada PRU pengundi akan lebih teliti kerana mereka akan memilih kerajaan untuk 5 tahun akan datang.

“Oleh itu, saya yakin majoriti rakyat Selangor akan mengundi untuk mengekalkan kerajaan negeri hari ini. Mereka akan mengundi parti-parti yang dilihat akan membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri hari ini telah melaksanakan banyak program-program untuk membantu rakyat sejak 2008 dan kajian Merdeka Centre yang terkini menunjukkan majoriti rakyat Selangor berpuas hati dengan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Realitinya Umno atau mana-mana parti lain tidak ada isu-isu yang kukuh untuk menumbangkan kerajaan negeri hari ini.

“Setelah terlepas dari cengkaman Umno dalam tahun 2008, rakyat Selangor tidak akan mahu kembali ke zaman pemerintahan parti itu. Walaupun Kerajaan Negeri Selangor diserang dari setiap penjuru namun ia tidak akan dapat menutup “jenayah” Umno terhadap rakyat Selangor sebelum ini.

“Maka adalah tidak masuk akal tuduhan terdapat parti yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Umno,” tegasnya.

CATEGORIES
TAGS