Malaysia Dateline

Dakwaan Khairy serius, syarikat tawar 2 juta vaksin Sinovac digesa tunjuk bukti

Memandangkan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin telah membuat dakwaan serius, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memohon supaya syarikat yang menawarkan sumbangan 2 juta dos vaksin Sinovac untuk memberi penjelasan serta menunjukkan bukti-bukti yang berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka.

Chow Kon Yeow berkata, dakwaan serius itu turut mewajibkan bahawa syarikat tersebut dan pengarah yang dinamakan oleh Menteri untuk tampil bagi menolak dakwaan berkaitan.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat satu dakwaan serius bahawa syarikat yang menawarkan sumbangan 2 juta dos vaksin Sinovac kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan syarikat yang ‘bogus’ dan tawaran ini adalah satu ‘scam’.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami telah mengambil tindakan berhemah apabila menerima tawaran vaksin berkaitan melalui surat bertarikh 1 Februari 2021 yang mana kami telah memohon pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“JKNPP kemudian telah meminta supaya perkara tersebut dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pandangan serta nasihat lanjut,” ujar Chow Kon Yeow dalam kenyataan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar telah mengutus surat kepada Ketua Setiausaha KKM, Putrajaya bertarikh 15 Februari 2021 bertajuk ‘Memohon Pandangan Kementerian Kesihatan Bagi Penggunaan Vaksin COVID-19 Untuk Rakyat Negeri Pulau Pinang Melalui Sumbangan Syarikat Swasta’.

Pada 12 Mac 2021, Dato’ Mohd. Shafiq Abdullah selaku Ketua Setiausaha KKM telah memberi jawapan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa adalah tidak perlu menimbangkan sumbangan vaksin tersebut kerana Kerajaan Persekutuan telahpun merangka dan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Namun, menurut Kon Yeow, pandangan Ketua Setiausaha KKM, Dato’ Mohd. Shafiq Abdullah langsung tidak menyentuh tentang isu status syarikat tersebut.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini tidak berupaya menyusuli perkara ini kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin.

“Tawaran vaksin ini dibangkitkan semula pada 18 Mei 2021 apabila pihak saya mempersoalkan mengapa KKM tidak dapat memberi perakuan untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdasarkan surat jawapan daripada Ketua Setiausaha KKM sedangkan negeri Sarawak dan Selangor dilaporkan membeli vaksin untuk kegunaan negeri masing-masing,” kata beliau.

Justeru, katanya, kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu ini kerana tawaran vaksin ini akan dapat diberikan kepada rakyat negeri Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka terhadap virus COVID-19.