Dakwaan mansuh 4000 projek mesra rakyat kerajaan PH perlu buktikan peduli rakyat

Dakwaan mansuh 4000 projek mesra rakyat kerajaan PH perlu buktikan peduli rakyat

Dakwaan pemansuhan 4,000 Projek Mesra Rakyat bagi setiap parlimen seluruh negara yang telah diluluskan tetapi kini dibatalkan harus segera diberi penjelasan oleh kerajaan bagi mengelak persepsi buruk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Kumpulan Usahawan PUNB Negeri Pulau Pinang, Abdullah Mohamed Nor ketika ditemui.

Jelasnya lagi, kerajaan harus mencari alternatif bagi mengatasi masalah tersebut kerana ia banyak membabitkan banyak projek bagi penduduk di kawasan luar bandar.

“Walaupun projek tersebut telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu, sekiranya ia suatu keperluan yang memberi manfaat yang besar kepada penduduk setempat maka ia haruslah di diteruskan.

“Kerajaan harus mencari jalan penyelesaian supaya kemudahan dan keperluan masyarakat tidak terabai.

“Kebanyakan projek-projek tersebut membabitkan pembinaan dewan, masjid, jalan raya dan seumpamanya, ” ujar beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan Bendahari Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras) turut berkata, keperluan serta kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat khususnya dikawasan pedalaman dan luar bandar harus diberi keutamaan.

Sebelum ini Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mendakwa keseluruhan projek terlibat membabitkan kos sejumlah RM100 juta.

Manakala Projek Mesra Rakyat yang paling banyak adalah di Negeri Johor membabitkan 800 buah projek, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing berjumlah 500 buah projek.

“Oleh kerana itu kerajaan harus menjelaskan dengan segera punca dan sebab pembatalan atau pemansuhan Projek Mesra Rakyat tersebut.

“Apakah ia berpunca dari kepincangan urus tadbir, seliaan, kontraktor, rasuah dan seumpanya.

“Penjelasan ini mampu memberi keyakinan kepada masyarakat yang sebelum ini amat mengharapkan projek-projek tersebut dapat disiapkan kerana ia menjadi suatu yang amat diperlukan secara mendesak bagi sesetengah tempat, ” tegasnya lagi.

Malah tambahnya kemungkinan antara projek yang dibatalkan tersebut membabitkan masjid yang uzur dan perlu dibina semula atau dinaik taraf dengan segera ekoran masalah setempat.

Sehubungan itu katanya, pemansuhan ini harus dikaji semula dengan kadar yang segera agar ia tidak memudaratkan masyarakat yang sememangnya mengharapkan projek tersebut menjadi realiti dibawah pemerintah kerajaan PH kini.

Sarannya lagi kerajaan PH kini harus buktikan kepada rakyat bahawa kepimpinan sedia ada merupakan sebuah kerajaan Malaysia Baharu yang peduli rakyat serta lebih baik dari kerajaan Umno dan BN sebelum ini.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote