Dakwaan Najib Kerajaan PH belanja wang GST RM18 bilion tidak berasas

Dakwaan Najib Kerajaan PH belanja wang GST RM18 bilion tidak berasas

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membelanjakan wang GST RM18 bilion yang dibuat menerusi tulisan beliau di blognya.

Selain itu kata beliau, Najib Razak juga dikehendaki berterus terang berkenaan peranannya dalam skandal bayaran balik RM18 bilion yang hilang itu.

“Bekas PM Najib Razak mendakwa menerusi cacatan blognya bahawa kerajaan yang diterajui PH telah membelanjakan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion yang mana dibongkarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkenaan salah laku pentadbiran sebelum ini yang menggunakan wang terbabit.

“Tuduhan yang dilemparkan Najib langsung tidak berasas serta menyimpang daripada kebenaran.

“Kerajaan PH tidak sepatutnya dikambinghitamkan atas salah laku yang dilakukan kerajaan sebelum ini kerana tidak melunaskan bayaran balik GST seperti yang sepatutnya.

“Saya mendedahkan salah laku terbabit di Parlimen minggu lalu, bahawa sebab sebenar penangguhan besar yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini dalam membuat bayaran balik GST dan sebahagian daripadanya ditangguh sehingga tiga tahun, menunjukkan kegagalan besar pentadbiran itu dalam memindahkan RM18 bilion ke Akaun Amanah Bayaran Balik GST,” kata Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas beliau, kekurangan RM18 bilion dalam pembayaran balik tidak dilakukan dalam masa satu bulan, tetapi ia tidak dilaksanakan sejak 1 April 2015 iaitu tiga tahun lalu.

Tambahan pula katanya, kekurangan RM18 bilion ini dicatatkan sehingga 31 Mei 2018.

“Bolehkah Datuk Seri Najib Razak membuktikan dakwaannya bahawa Kerajaan PH telah membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja dan sedangkan undang-undang yang diperlukan untuk membuat bayaran balik adalah dalam masa dua minggu?

“PM Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia ketujuh pada 10 Mei 2018, manakala saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan pada 21 Mei 2018.

“Bagaimana pula Tun Dr Mahathir sebagai PM membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja atau saya selaku Menteri Kewangan menghabiskan wang terbabit dalam masa 10 hari seperti yang didakwa Najib?

Tambah beliau, tuduhan tidak berasas oleh Najib ini saling tak tumpah dengan dakwaannya bahawa wang 1MDB RM50 bilion bukanlah skandal kewangan atau kerugian kepada negara, atau penyitaan wang tunai beratus juta ringgit, barang kemas serta 274 rekaan beg tangan mewah adalah hadiah kepadanya, atau wang tunai RM3.5 juta yang dicuri pengawal keselamatan dari pejabat PM bukan miliknya tetapi milik Umno?

“Najib sewajarnya berlaku jujur serta berterus terang dengan skandal-skandal yang dihadapinya serta menjelaskan apa peranannya dalam skandal kehilangan bayaran balik GST RM18 bilion itu.

“Perlu diingat bahawa Menteri Kewangan sahaja yang boleh mengarahkan bayaran balik GST ditangguhkan melebihi tempoh dua minggu yang sah, atau pembayaran GST dibuat ke dalam Akaun Hasil Disatukan dan bukannya Tabung Amanah untuk Akaun Pengembalian GST,” kata beliau.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0