Malaysia Dateline

Najib Razak sedih minta ahli Umno jaga institusi presiden

Dakwaan Najib, Khazanah tidak pernah rugi sebelum ini bohong

Datuk Seri Mohd  Najib Razak berkata, selama tempoh 10 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak pernah mengalami kerugian adalah satu pembohongan.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerugian Khazanah terbesar disebabkan pelaburannya dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu.

Katanya, pada dasar, kerugian dialami disebabkan kecacatan pelaburan yang dibuat sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pada 9 Mei tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri itu menerusi status Facebooknya semalam, berkata, nilai aset Khazanah juga tidak pernah turun dan naik secara konsisten ketika di bawah pentadbirannya.

“Dalam 10 tahun saya menjadi PM dan pengerusi syarikat, Khazanah tidak pernah mengalami kerugian, malah ia meningkat setiap tahun ketika saya menjadi PM.

“Dalam 10 tahun itu, nilai aset bersih Khazanah meningkat RM82.3 bilion (244 peratus) daripada RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM116 bilion pada penghujung 2017.

“Selepas kerajaan diambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH), nilai Khazanah terus jatuh kepada RM25 bilion menjadi RM91 bilion,” katanya.

Najib berkata, kejatuhan RM25 bilion bukan satu angka yang kecil, malah boleh membayar hampir semua hutang 1MDB atau hampir setengah daripada kos ECRL RM55 bilion.

“Tidak mengapa, RM91 bilion yang tinggal di Khazanah itu masih banyak.

“Banyak lagi aset negara boleh jual,” katanya lagi menerusi akaun Facebooknya.

Memetik laporan Astro Awani semalam, Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018, berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.

Itu merupakan kerugian pertama yang dicatat syarikat pelaburan kerajaan dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu, Najib juga dilihat kurang senang dengan cadangan penjualan Khazanah di Legoland Resort yang secara rasminya dibuka bersama dengan Sultan Johor pada tahun 2012 untuk menarik lebih banyak pelancong.

Semalam, Astro Awani melaporkan, Khazanah mempertimbangkan untuk menjual pegangan dalam taman tema Legoland jika urus niaga itu memberikan pulangan modal tinggi.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, bagaimanapun berkata, sehingga kini belum ada sebarang perbincangan ke arah penjualan berkenaan.