Malaysia Dateline

Dakwaan Najib mengelirukan, harga sawit terus meningkat

Dakwaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang cuba mengelirukan rakyat negara ini berkenaan kejatuhan eksport minyak sawit kepada India dengan menyalahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkaitan komennya yang membela nasib penduduk Muslim di Kashmir, India ternyata meleset.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil dalam kenyataan beliau.

Katanya lagi, pada hakikatnya India masih pembeli ketiga terbesar minyak sawit tempatan dan telah mengimport sejumlah 142,696 tan daripada Malaysia pada November tahun ini.

“Walaupun eksport minyak sawit negara ini kepada India telah menurun selama tiga bulan, iaitu September hingga November, ini adalah susulan peralihan permintaan India secara keseluruhan daripada minyak sawit dan minyak soya kepada minyak bunga matahari.

“Tindakan kerajaan India mengurangkan import minyak sawit bukan sahaja melibatkan negara ini, malah menurut laporan Bloomberg pada 12 Disember 2019, penghantaran minyak sawit memasuki India dari pelbagai negara sumber telah turut jatuh untuk bulan Oktober.

“Trend ini adalah disebabkan kenaikan harga minyak sawit sejak beberapa bulan yang lalu,” tegasnya.

Menurut Faiz lagi, sejak pertengahan Julai, harga minyak sawit telah meningkat sebanyak 50 peratus ekoran jangkaan kejatuhan stok sawit dan peningkatan permintaan daripada bio-fuel.

Jelas beliau lagi, menurut data yang dikeluarkan Malaysian Palm Oil Board, harga sawit telah melonjak naik ke RM2,856 setan berbanding hanya RM1,879.50 pada 15 Julai tahun ini dan merupakan yang tertinggi dalam tempoh 2 tahun sejak September 2017.

“Selain itu, tindakan kerajaan India yang meningkatkan duti import atas minyak sawit ditapis negara ini daripada 45 peratus kepada 50 peratus sehingga Mac 2020 untuk mengukuhkan industri penapisan di negara itu, turut menjejaskan sawit tempatan.

“Indonesia selaku pengeluar minyuak sawit terbesar dunia turut dikenakan kadar 50 peratus.

“Sehubungan itu, perubahan eksport sawit ke India adalah perkara biasa dan juga merupakan kesan dinamika pasaran bebas,” tambah beliau.

Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir turut berkata, meskipun jualan minyak sawit ke India sedikit menurun, namun begitu eksport ke China berjumlah 53 peratus dan Kesatuan Eropah sebanyak 27 peratus adalah pasaran terbesar untuk sawit Malaysia sejak September tahun ini terus meningkat.

Katanya lagi, laporan Reuters pada 14 November 2019, menyatakan kilang-kilang dari India telah meneruskan pembelian minyak sawit negara ini dan telah membuktikan tiada sebarang gerakan boikot oleh India ke atas Malaysia.

Justeru tambah beliau, Najib seharusnya berhenti mengelirukan dan menipu rakyat negara ini.

Ia juga menyarankan Najib agar belajar menjadi pembangkang yang membina dan berhujah atas fakta dan bukannya auta.