Malaysia Dateline

Dakwaan Neelofa langgar SOP: Timbalan Pendakwa Raya bakal putuskan

Timbalan Pendakwa Raya akan memutuskan sama ada Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail akan didakwa atau sebaliknya selepas didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan majlis perkahwinan selebriti itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan kompaun dikeluarkan terhadap pasangan terbabit kerana ingkar SOP berkenaan.

“Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya yang akan putuskan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya.

“Kertas siasatan sudah diserahkan dan kita cadang pasangan berkenaan dikompaun,” lapor BH hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan sudah merekodkan keterangan Neelofa dan Haris atau dikenali PU Riz berhubung isu yang mengundang kecaman rakyat itu.

Zainal dipetik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, pada 27 Mac lalu.

Orang ramai tidak berpuas hati dan mempersoal tindakan terhadap jutawan itu selepas tular gambar jemputan yang hadir duduk berhimpit sekali gus melanggar SOP PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).